KUALA LUMPUR: Bagi mengembangkan perkhidmatan teknologi industri kewangan, AirAsia dengan rakan kongsinya, Ringgitplus, telah melancarkan pasaran kewangan oleh airasia money.
Fokus pasaran kewangan itu ialah untuk yang menyediakan penyelesaian kewangan, kesedaran, pendidikan dan membuat keputusan terbaik berdasarkan keperluan para pelanggan.
Kini, airasia money yang diintegrasikan dalam airasia super app itu menawarkan aplikasi kad kredit dan pinjaman peribadi.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan pelancaran itu sebagai pelengkap aplikasi airasia super app dengan konsep yang diusahakan sejak Oktober tahun lalu.
“Kami telah menceburi industri teknologi kewangan pada tahun 2018 dengan BigPay, dan kami berhasrat untuk terus berinovasi dan kekal relevan dalam pasaran ini dengan memperkenalkan airasia money untuk mendorong para pelanggan ke arah kebebasan kewangan.
“Pasaran Kewangan itu akan menjadi pusat sehenti bagi semua keperluan kewangan untuk para pelanggan kami bermula di Malaysia dan diikuti oleh negara ASEAN lain termasuk Indonesia pada suku kedua ini, Filipina (suku ketiga 2021) dan Thailand (suku keempat 2021),” katanya pada majlis pelancaran itu, semalam.
Sementara itu, Ketua airasia money, Mohamad Hafidz berkata, dengan menyasarkan golongan milenium, platform itu juga akan merangkumi pelbagai produk kewangan lain seperti insurans, pelaburan, tambah nilai, kredit permainan, serta perkhidmatan lain termasuk pengiriman wang dan pembayaran zakat.
“Kepakaran yang disediakan oleh platform lain kebanyakannya bersifat spesifik seperti untuk pinjaman, insurans dan sebagainya, berbanding menyediakan saluran yang memudahkan dan mempunyai gabungan cadangan.
“Airasia money bertujuan menyediakan penyelesaian kewangan yang mudah difaham, diselaraskan melalui aset fintech serta rakan strategik luar seperti RinggitPlus,” katanya.
Tambahnya, perkhidmatan kewangan lain termasuk platform e-wallet BigPay dan Tune Insurance di bawah Tune Protect Group Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi Ringgitplus, Siew Yuen Tuck berkata, pihaknya ingin mendemokrasi industri kewangan untuk menawarkan produk perbankan dan insurans yang boleh di akses oleh semua orang. – UTUSAN