PETALING JAYA: Affin Bank dan Tealive memperkenalkan konsep perbankan sosial yang unik di cawangan Affin Bank Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Kerjasama itu dalam usaha memberikan pengalaman baharu kepada para pelanggan bank di mana mereka dapat menikmati minuman kegemaran sambil melakukan aktiviti perbankan mengikut keselesaan sendiri dalam persekitaran sebuah kafe.
Konsep Tealive 3.0 itu turut menyediakan sajian baketi dikenali sebagai Tealive Eats, serta perkhidmatran pesanan layan diri di pintu masuk di mana pelanggan dapat membuat pesanan dan membayar secara dalam talian.
Pembukaan cawangan konsep baharu itu dirasmikan oleh Pengerusi Affin Bank, Datuk ‘Agil Natt dan turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali serta Pengasas dan CEO Loob Holdings Sdn. Bhd., Bryan Loo.
Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah.
Wan Razly Abdullah dalam ucapannya berkata, pembukaan cawangan itu merupakan satu kemajuan yang progresif oleh Affin Bank dalam menerapkan konsep perbankan baharu ini, menjadikan pengalaman perbankan lebih mudah oleh pengguna lebih muda.
Katanya, oleh kerana pengguna lebih muda kebiasaannya berhubung secara digital, mereka secara semula jadi menjadi lebih mengambil tahu pelbagai aktiviti yang berlaku dalam persekitaran mereka.
“Sehubungan itu, pengenalan konsep perbankan baharu ini pada masyarakat setempat amatlah bersesuaian dengan keadaan semasa dan seiring dengan perjalanan metamorfosis Affin Bank menjadi sebuah bank yang progresif dan pilihan untuk segmen belia,” katanya.
Byran pula berkata, kerjasama dengan Affin Bank satu lagi kejayaan yang akan meningkatkan Tealive ke tahap lebih tinggi dalam melayani pelanggan serta menyebarkan budaya teh gaya hidup moden di Malaysia.
“Kami percaya akan ada integrasi lebih besar pada masa hadapan kerana perkhidmatan perbankan akan bergabung dengan pilihan runcit gaya hidup. Jenama kami harus kekal relevan untuk memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah,” katanya.
Sempena meraikan pelancaran dan kerjasama itu, Tealive menawarkan potongan 20 peratus untuk para pelanggan yang menggunakan kad Affin Bank, sementara kakitangan dan pelajar UiTM pula diberikan potongan 10 peratus di cawangan Tealive Kampus UiTM Puncak Alam. – UTUSAN