SHAH ALAM: Bagi meningkatkan jualan Aidilfitri, AEON Co. (M) Berhad (AEON) melancarkan Kempen Ramadan-Raya Bersama AEON yang akan bermula Sabtu ini.
Ketua Bahagian Sumber Manusia AEON, Dr. Kasuma Satria berkata, kempen tersebut akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini akan terbahagi kepada dua program.
Menurutnya, dua program tersebut adalah Bazar Selebriti dan Dapur Selebriti vs Dapur CEO yang melibatkan beberapa selebriti seperti Saharul Ridzwan, Nabil Ahmad, Siti Nordiana dan beberapa artis lain.
“Dalam program Bazar Selebriti, selebriti ini akan menjual produk mereka di Bazar Ramadan AEON Shah Alam sepanjang Ramadan ini.
“Manakala bagi program Dapur Selebriti vs Dapur CEO, juadah beberapa selebriti terpilih akan dijual di seluruh cawangan AEON dan AEON BiG seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Ramadan-Raya Bersama AEON di AEON Shah Alam, Seksyen 13 di sini, semalam.
Dalam pada itu, Kasuma berkata, setiap RM1 daripada RM10 daripada jualan produk dalam program Dapur Selebriti vs Dapur CEO akan dikumpulkan bagi membeli tablet kepada pelajar tidak berkemampuan yang terpilih.
“Buat masa ini, kita menyasarkan untuk membeli 2,000 buah tablet dalam program ini.
“Oleh demikian, kita berharap orang ramai dapat membeli-belah di pasaraya AEON dalam usaha untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan ini,” katanya. – UTUSAN