Bitcoin: Singapura beri amaran - Utusan Malaysia

Bitcoin: Singapura beri amaran

Pihak Berkuasa Monetari Singapura menyifatkan mata wang kripto tidak sesuai untuk pelabur runcit dan pasarannya boleh menjadi sangat tidak menentu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapura sekali lagi memberi amaran kepada orang awam tentang risiko perdagangan mata wang kripto seperti Bitcoin, pasaran yang semakin mendapat sambutan ketika ini walaupun masih relatif kecil di negara itu.

Pengerusi Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS), S. Tharman berkata, pasaran mata wang kripto boleh menjadi sangat tidak menentu memandangkan nilainya secara tipikal tidak terkait dengan mana-mana fundamental ekonomi.

“Oleh itu, ia sangat berisiko sebagai produk pelaburan dan semestinya tidak sesuai untuk pelabur runcit,” katanya ketika menjawab soalan di Parlimen kelmarin.

Menurut Tharman, dana mata wang kripto tidak diiktiraf untuk jualan bagi pelabur runcit.

Katanya, MAS juga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tambahan kepada penyedia perkhidmatan token digital yang mana bursa yang menawarkan dagangan mata wang kripto dikawal selia.

Komen tersebut dibuat ketika jumlah nilai pasaran mata wang kripto melepasi AS$2 trilion (RM8.27 trilion) buat pertama kali, meningkat dua kali ganda dalam tempoh kira-kira dua bulan ketika permintaan institusi melonjak.

Bitcoin menjadi tumpuan apabila pelabur beralih kepada kripto sebagai cara meningkatkan pulangan tunai dalam dunia dengan kadar faedah hampir sifar.

Ia termasuk apabila syarikat gergasi seperti Tesla Inc. mengumumkan akan menerima kripto dalam urusan penjualan kere­tanya.

Dagangan mata wang kripto masih kecil berbanding saham dan bon dengan jumlah dagangan harian tertinggi untuk bitcoin, ethereum dan XRP hanya melibatkan dua peratus daripada purata jumlah dagangan harian sekuriti dalam bursa saham utama tahun lalu.

Sementara itu, menurut Reuters, peningkatan nilai pasaran mata wang kripto diterajui bitcoin yang mencipta rekod peribadi baharu dengan mengekalkan permodalan pasaran AS$1 trilion (RM4.13 trilion) selama seminggu.

Menurut penganalisis, selagi bitcoin mengekalkan nilainya di atas AS$53,000 (RM219,075.50), ia akan mampu mengekalkan permodalan pasarannya di tahap AS$1 trilion.

Mata wang kripto kedua terbesar dari segi permodalan pasaran, ethereum pula mencatat peningkatan 1.3 peratus kepada AS$2,103 (RM8,692.75) semalam. Jumaat lalu, ia mencatat nilai tertinggi pada AS$2,144.99 (RM8,866.32).

Permodalan pasarannya pada Isnin lalu adalah pada AS$244 bilion (RM1.01 trilion). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya