14.56 juta penduduk sudah dibanci - Utusan Malaysia

14.56 juta penduduk sudah dibanci

MOHD. Uzir Mahidin (dua, kiri) diiringi Pegawai Urusetia Banci 2020 bertemu seorang responden dalam Program Turun Padang Persuruhjaya Banci Malaysia 2020 di Puchong, Selangor, kelmarin. – utusan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 bukanlah satu projek yang asing bagi rakyat Malaysia.

Projek tersebut dijalankan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia untuk mengumpul data dan maklumat penduduk di negara ini.

Pelaksanaan Banci 2020 yang merujuk kepada peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969) itu turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

Sebenarnya, masih ramai yang belum jelas dan faham kelebihan yang diperoleh hasil pelaksanaan projek tersebut.

Setakat ini, seramai 14.56 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia iaitu 45 peratus telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 itu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, banci itu dijalankan menerusi dua kaedah iaitu dalam talian atau e-Census dan bersemuka di seluruh negara.

Menurutnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bancian tertinggi sebanyak 100 peratus, diikuti dengan Johor 64 peratus, Perak 60 peratus, Kelantan 59 peratus Melaka, 56 peratus dan Perlis 56 peratus.

“Negeri lain ialah, Negeri Sembilan 51 peratus, Pulau Pinang 51 peratus, Kedah 42 peratus, dan Selangor 42 peratus.

“Manakala, lima negeri terendah ialah, Kuala Lumpur 36.4 peratus, Pahang 34.1 peratus, Sarawak 32 peratus, Labuan 31 peratus dan Sabah 22 peratus,” katanya dalam Program Turun Padang Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Selangor kelmarin.

Berdasarkan data DOSM, antara mod pembancian yang paling banyak digunakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah secara atas talian menerusi e-Census sebanyak 93.2 peratus atau 102,484 orang.

Manakala, mod temubual peribadi melalui komputer (CAPI) pula banyak digunakan oleh penduduk di Kelantan iaitu 46.7 peratus atau 890,571 orang.

Selain itu, mod temuramah kertas dan pen (PAPI) menjadi pilihan penduduk di Melaka dengan jumlah 4.5 peratus atau 41,575 orang.

Secara menyeluruh, rata-rata rakyat Malaysia lebih gemar menggunakan kaedah e-Census sebanyak 48 peratus, diikuti mod CAPI sebanyak 47.5 peratus.

Kaedah yang disediakan secara atas talian itu bertujuan untuk memudahkan proses mengumpul data oleh pihak DOSM berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Namun begitu, Mohd. Uzir menjelaskan, menggunakan kaedah e-Census sahaja tidak mencukupi.

Justeru, kaedah bersemuka telah dilakukan sejak Februari lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau menggesa orang ramai memberi komitmen untuk menjawab soalan dan memberikan data kerana manfaat yang boleh diperoleh daripada pelaksanaan projek itu sangat banyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya