PETALING JAYA: Westports Holdings Berhad (Westports) dan Klang Port Managements Sdn. Bhd. (KPM), anak syarikat Northport (Malaysia) Berhad (Northport) mencapai persetujuan untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan Bousted Cruise Centre Sdn. Bhd. (BCC) daripada Boustead Holdings Berhad dengan nilai RM230 juta.
Menurut makluman Westports kepada Bursa Malaysia, pembayaran akan dibuat secara tunai oleh Wesports dan KPM dengan nisbah 50:50.
Dengan pengambilalihan itu, Westports dan KPM masing-masing akan memegang kepentingan 50 peratus di dalam BCC.
BCC ketika ini menyediakan fasiliti pelabuhan dan perkhidmatan kepada kapal-kapal pelayaran dan tentera laut di kemudahannya seluas 69.8 ekar di Pulau Indah.
Selain itu, BCC turut mempunyai dua bidang tanah yang dibangunkan dengan bangunan terminal lima tingkat dan tempat telak kenderaan, serta enam lagi bidang tanah yang belum dibangunkan sepenuhnya.
“Wesports akan membiayai pengambilalihan ini melalui dana dalaman dan pengambilalihan itu dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.
“Westports dan KPM tidak tertakluk kepada sebarang liabiliti dan jaminan daripada pengambilalihan BCC,” jelasnya dalam makluman itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata, pengambilalihan itu akan memberi peluang kepada syarikat untuk mengembangkan perniagaannya dalam mengendalikan terminal pelayaran.
“Terminal kami di Westports mampu memenuhi keperluan kapal-kapal pelayaran. Bagaimanapun, segmen perniagaan ini telah terjejas akibat pandemik setahun lalu. Westports berpandangan terdapat kemungkinan untuk menyemak semula norma perniagaan kapal pelayaran dalam tempoh jangka pendek dan panjang,” katanya. – UTUSAN