Wanita boleh sumbang AS$20 trilion pertumbuhan ekonomi - Utusan Malaysia

Wanita boleh sumbang AS$20 trilion pertumbuhan ekonomi

Penutupan pusat-pusat jagaan kanak-kanak akibat Covid-19 memaksa ramai wanita berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada penjagaan anak-anak mereka di rumah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pertumbuhan ekonomi global boleh meningkat kira-kira AS$20 trilion (RM82.53 trilion) menjelang 2050 sekiranya golongan wanita mendapat peluang pekerjaan sama seperti dalam bidang pendidikan, me­nurut satu kajian yang diterbitkan oleh Bloomberg.

Menurut kajian itu, perubahan dasar dalam memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan wanita, sama seperti peluang mereka mendapat pendidikan menengah, penjagaan kanak-kanak dan waktu bekerja anjal, ibarat ‘percikan api’ kepada pertumbuhan ekonomi global dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Kajian dilakukan oleh ahli ekonomi Bloomberg, Adriana Dupita, Abhishek Gupta dan Tom Orlik itu adalah bukti terbaharu bagaimana jurang jantina sema­kin kritikal dalam sektor pekerjaan ketika ekonomi mula pulih daripada pandemik Covid-19.

“Di peringkat global, hanya 58.4 peratus wanita berumur antara 25 hingga 64 tahun be­kerja, berbanding sekitar 92.1 peratus golongan lelaki.

“Di Amerika Syarikat sendiri, wanita yang suatu ketika dahulu membantu ekonomi terbesar dunia itu keluar daripada kegawatan, kini ketinggalan dengan pakar ekonomi menyifatkannya sebagai kegawatan yang pertama kali berlaku ke atas golongan berkenaan,” menurut kajian itu.

Kajian itu mendapati, banyak wanita di AS tidak bekerja tahun lalu kerana hendak menjaga dan mengurus anak kerana sekolah ditutup akibat pandemik, telah menyebabkan banyak industri perkhidmatan terjejas.

Menurut Jabatan Perangkaan AS, kira-kira 1.4 juta wa­nita masih keluar bekerja pada Janua­ri lalu. Bagaimanapun, jumlah itu meningkat sedikit pada Februari, namun masih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik.

Kajian itu mendapati, India merekodkan penyertaan paling rendah golongan wanita dalam sektor pekerjaan iaitu kira-kira 16.6 peratus.

Usaha merapatkan jurang antara lelaki dan wanita dalam sektor pekerjaan di negara berkenaan dijangka boleh memberi tambahan pengeluaran 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India menjelang 2050.

“Adalah penting untuk negara-negara (yang dikaji) memikirkan dan membentuk semula ekonomi mereka untuk memastikan ekonomi boleh menerima tambahan tenaga kerja yang produktif. Di banyak negara, jurang pendidikan dan pekerjaan membabitkan golo­ngan wanita masih melebar,” kata Adriana. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya