PETALING JAYA: United Overseas Bank (UOB) telah mengumumkan kenaikan gaji dan pangkat untuk semua kakitangannya yang layak pada Jun ini.
Inisiatif kenaikan gaji dan pangkat secara meluas itu akan merangkumi 98 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja kumpulan itu di rantau ini termasuk Malaysia, China, Indonesia, Thailand dan Vietnam, tidak termasuk pengurusan kanan.
Ketua Sumber Manusia Kumpulan UOB, Dean Tong berkata, kumpulan tersebut kekal berdaya tahan sejak pemulihan pada akhir tahun lalu dan telah menunjukkan pertumbuhan baik melangkah ke tahun baharu.
“Sebahagian besarnya ia berlaku disebabkan oleh ketabahan, semangat berpasukan yang teguh serta keazaman kakitangan kami.
“Di UOB, prinsip asas kami adalah untuk menjaga kesejahteraan kakitangan, justeru kami komited melakukan yang sebaiknya bagi memastikan keperluan profesional dan peribadi mereka dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, melalui inisiatif tersebut, pihaknya menunjukkan penghargaan kepada warga kerja yang memberikan prestasi terbaik setiap hari dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan juga bank dalam tempoh yang sangat mencabar.
Bank berkenaan meningkatkan langkah pertengahan tahun, menjelang akhir tahun tahunannya, menandakan keyakinannya terhadap pemulihan ekonomi yang berterusan pada tahun ini.
Melalui inisiatif itu juga, UOB turut mengakui usaha hebat seramai 26,000 tenaga kerjanya dalam membantu pelanggan dan bank untuk menjadi lebih kuat ekoran krisis Covid-19.
Di bawah pendekatan pampasan bayaran berasaskan prestasi UOB, kakitangan berprestasi tinggi di seluruh kumpulan akan menerima kenaikan gaji yang melebihi purata pasaran.
Kenaikan gaji itu juga adalah susulan pembayaran awal bonus prestasi 2020 UOB yang diterima oleh kakitangan pada bulan lalu.
UOB akan terus mengambil pendekatan yang berhemah dan berdisiplin untuk menguruskan perniagaannya, justeru, kajian semula pakej pampasan untuk pengurusan kanan akan dipertimbangkan pada fasa berikutnya. – UTUSAN