PETALING JAYA: Tune Protect Malaysia telah melancarkan kad e-perubatan tanpa tunai dalam talian yang pertama, PRO-Health Medical, dengan kesedaran tinggi terhadap pelindungan perubatan dan kenaikan kos penjagaan kesihatan.
Kad e-perubatan itu memberikan pelindungan kepada pelanggan dari segi perbelanjaan di hospital dan rawatan pembedahan termasuk pesakit dalam (inpatient), prosedur rawatan pembedahan jagaan harian dan rawatan pesakit luar (outpatient) yang disebabkan oleh kemalangan dan penyakit.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, William Foo berkata, pelanggan yang kini mahir dalam teknologi digital akan berkembang berdasarkan kemudahan yang diberikan.
“Mereka sedar akan kepentingan kesihatan dan realistik dalam menguruskan perbelanjaan mereka. Pandangan itu telah mendorong ciri-ciri PRO-Health Medical sebagai rancangan komprehensif dan mesra bajet yang mudah difahami.
“Pendaftaran hanya akan mengambil masa kurang dari lima minit dan tuntutan tanpa gangguan boleh dilakukan melalui Aplikasi Tune Protect yang turut menyalur kad berkenaan untuk kemasukan tanpa tunai,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pelanggan juga akan menikmati kelebihan di mana mereka tidak perlu membayar dahulu sebelum menerima rawatan.
Kad perubatan tersebut boleh digunakan untuk kemasukan tanpa tunai di lebih daripada 150 hospital di seluruh Malaysia serta pembayaran balik untuk rawatan alternatif dan kiropraktik selepas dimasukkan ke hospital.
Selain itu, PRO-Health Medical boleh dibeli oleh pelanggan insurans perubatan pertama kali atau sebagai tambahan kepada liputan perubatan yang sedia ada.
Ia mempunyai empat jenis pelan dengan had tahunan antara RM30,000 hingga RM150,000 uyntuk dipilih mengikut keperluan pelanggan.
Produk tersebut juga tidak mempunyai had seumur hidup yang bermaksud had tahunan akan dikembalikan setiap tahun ke tahun.
Kad perubatan tersebut boleh dibeli secara dalam talian melalui laman webnya atau dengan memuat turun Aplikasi Tune Protect dari Apple App Store atau Google Play Store.
Insurans perubatan dalam talian itu tersedia untuk rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang menetap secara sah di sini, berumur 18 hingga 45 tahun dan boleh diperbaharui sehingga usia 65 tahun.
Bagi 1,000 pelanggan pertama yang membeli insurans tersebut pada bulan ini akan mendapat akses kepada program kesejahteraan mental selama setahun bersama Naluri, penyelesaian terapi digital.
Mereka juga akan mendapat akses elaun untuk penyakit bawaan nyamuk, perbelanjaan tambahan Covid-19 sehingga RM20,000 setiap diagnosis sehingga 31 Disember 2021.
Sementara itu, Tune Protect turut membuat kerja amal kepada Yayasan Chow Kit dengan memberikan kanak-kanak dari keluarga yang kurang bernasib baik akses kepada penjagaan kesihatan untuk setiap polisi yang dijual. – UTUSAN