Tubuhkan Bank Data Pelancongan - Utusan Malaysia

Tubuhkan Bank Data Pelancongan

SEKTOR pelancongan negara yang terjejas teruk akibat Covid-19, kini dalam proses pemulihan melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Malaysia menubuhkan Bank Data Pelancongan yang dapat membantu pemegang-pemegang taruh yang terlibat membuat keputusan berkenaan sektor tersebut dengan lebih tepat dan berpandukan data.

AmBank Research dalam nota kajiannya berkata, pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dan kesihatan dunia mengajar Malaysia bahawa kolaborasi pelbagai pemegang taruh diperlukan dalam industri pelancongan.

“Krisis ini memaksa organisasi perniagaan, institusi awam dan pihak-pihak dalam industri untuk bekerjasama dalam pemilihan destinasi di peringkat dalam dan luar negara.

“Penyelarasan dengan entiti bukan tradisional seperti agensi kesihatan adalah penting. Kesemua ini memerlukan maklumat berasaskan bukti,” katanya.

Menurut AmBank Research, bank data tersebut akan mengumpulkan maklumat komprehensif tentang pelancongan dan perniagaan berkaitan di peringkat industri, kerajaan tempatan, negeri dan negara.

“Ia akan membantu kedua-dua pembuat polisi dan perniagaan untuk mencari jalan dan cara menyelesaikan isu berterusan disebabkan pandemik.

“Ini termasuk memben­dung lebih banyak kehilangan kerja dalam mencipta kerja sementara dalam industri, menambah kemahiran dan melatih semula tenaga kerja berdasarkan permintaan baharu industri,” katanya.

Institut penyelidikan itu turut menegaskan, penting untuk mengambil kira kehilangan bakat apabila mereka yang ditamatkan perkhidmatan bertukar ke bidang yang tidak berkaitan seperti menjadi pemandu Grab.

“Ketika pemulihan daripada pandemik Covid-19 akan berbeza mengikut pelbagai sektor ekonomi, risiko untuk pelancongan menjadi antara yang terakhir untuk pulih adalah sangat tinggi.

“Ini walaupun (terdapat) petanda pemulihan segera, disokong oleh pelancong domestik. Pelancong jarak jauh kemungkinan tidak melancong sehingga keyakinan terhadap keselamatan perjalanan pulih, yang mungkin akan berlaku pada 2022,” katanya.

Pandemik Covid-19 yang me­landa negara sejak Disember 2019 menyebabkan banyak sektor ekonomi terjejas dengan sektor pelancongan membabitkan industri penerbangan dan perhotelan paling teruk terjejas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember lalu dilaporkan berkata, jumlah anggaran kerugian industri pelancongan negara pada 2020 adalah melebihi RM100 billion.

Jelas beliau, pandemik Covid-19 menyebabkan aktiviti ekonomi berkaitan industri pelancongan seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara terpaksa berhadapan dengan saat paling menyulitkan.

Bagi membantu meringankan beban pemain industri dan memulihkan sektor berkenaan, kerajaan telah melaksanakan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula (Penjana). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya