KLANG: Sabun Toyyib yang baru setahun memasuki pasaran, bakal meluaskan rangkaian perniagaannya ke negara jiran selepas berjaya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan status halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bulan ini.
Pengarah Urusan Toyyib, Norshahila Mohd. Noor berkata, pada masa ini pihaknya sedang merangka strategi bagi membawa produk sabun pencuci keluaran syarikatnya ke Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Dubai.
Katanya, pada peringkat awal, syarikat hanya mampu mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 botol sabun sebulan namun bertambah kepada 10,000 botol sebulan pada masa ini.
“Kami menjangkakan 200,000 botol sabun dapat dijual tahun ini membabitkan nilai jualan sehingga RM1 juta setahun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Toyyib sempena setahun beroperasi di Bandar Bukit Raja di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Operasi, Naim Saidon dan Pengarah Pemasaran, Mohamad Hafizul Faiz Mohd. Hairudin serta artis, Ezlynn.
Sabun Toyyib yang berfungsi sebagai pencuci, pewangi dan pelembut itu boleh didapati dalam tiga pilihan wangian iaitu Luxury Passion, Luxury Rose dan Luxury Fresh. Ia dijual pada harga promosi RM30 bagi berat 10 kilogram (kg) dan RM20 untuk 4kg.
Norshahila memberitahu, pada masa ini pihaknya hanya menjual sabun pencuci tersebut secara online dan menerusi ejen, manakala untuk jangka panjang, mereka bercadang menembusi pasaran pasar raya terkemuka.
Ujarnya, Toyyib turut mensasarkan penambahan bilangan ejen seramai 5,000 orang dalam masa tiga bulan lagi berbanding 2,000 ketika ini.
“Kami memulakan jualan sabun Toyyib ini pada Mac tahun lalu secara online iaitu ketika pandemik Covid-19. Kami mendapat sokongan daripada pembeli muslim dengan jualan tertinggi adalah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.
Selain sabun pencuci, Toyyib turut mengeluarkan empat lagi produk iaitu hand sanitizer, semburan pembasmi kuman serbaguna, pencuci tangan dan pembersih pinggan. – UTUSAN