Top Glove catat keuntungan RM2.9 bilion suku kedua - Utusan Malaysia

Top Glove catat keuntungan RM2.9 bilion suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) suku kedua tahun kewangan 2021 sebanyak RM2.9 bilion, melonjak 24 kali ganda berbanding RM116 juta dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Kumpulan syarikat itu juga berjaya meraih hasil jualan suku tahunan berakhir 28 Februari yang tertinggi bernilai RM5.37 bilion, iaitu peningkatan 336 peratus berbanding suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Top Glove memaklumkan, jumlah jualan juga menunjukkan peningkatan, menokok 19 peratus tahun ke tahun namun menyusut lapan peratus suku ke suku ekoran pemberhentian operasi sementara kilang-kilangnya di Meru, Klang pada November dan Disember 2020.

Menurutnya, sejajar dengan komitmen untuk menghargai 120,000 pemegang saham awamnya, Top Glove akan melaksanakan pembayaran dividen khas pada suku kedua tahun ini, di mana Lembaga Pengarah komited untuk membayar bermula suku kedua hingga suku keempat 2021.

“Pembayaran dividen itu terdiri daripada dividen khas sebanyak 20 peratus, ditambah 50 peratus mengikut dasar dividen syarikat sekali gus menjadikan jumlah 70 peratus pembayaran dividen. Pembayaran melibatkan nilai 25.2 sen sesaham.

“Tarikh akhir bagi dividen berkenaan adalah pada 23 Mac ini, sementara tarikh pembayaran adalah pada 6 April. Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 adalah sebanyak 41.7 sen sesaham, menyaksikan 253 peratus peningkatan daripada dividen penuh tahun kewangan 2020 iaitu 11.8 sen sesaham,” kata Top Glove dalam kenyataan.

Bagi prestasi kumpulan syarikat pada tahun kewangan 2021, Top Glove mencatatkan masing-masing nilai jualan berjumlah RM10.1 bilion, melonjak 315 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, PAT pula mencatatkan lonjakan besar sehingga 2,220 peratus kepada RM5.29 bilion, atau 22 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan itu, Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow berkata, tidak mudah untuk mencapai prestasi memberangsangkan yang konsisten dalam suasana persekitaran yang mencabar ini.

“Kami berbesar hati kerana sekali lagi dapat mengekalkan prestasi yang kukuh bagi suku kedua. Prestasi tidak dijangka ini menunjukkan keberkesanan inisiatif penambahbaikan teknologi berterusan, di mana menumpukan kualiti dan kecekapan kos selain membolehkan kami memenuhi permintaan sarung tangan yang meningkat dengan cekap dan berkesan,” katanya.

Kumpulan syarikat itu menjelaskan, permintaan sarung tangan dijangka melonjak dari tahap sebelum pandemik sekitar 10 peratus setahun hingga sekitar 15 peratus pada pasca pandemik berikutan peningkatan penggunaan serta peningkatan kesedaran terhadap kebersihan.

Disebabkan itu, Top Glove telah memperuntukkan RM10 bilion bagi perbelanjaan modal untuk tempoh lima tahun akan datang. Top Glove berhasrat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran semasa sebanyak 100 bilion unit sarung tangan kepada 200 bilion unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya