PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji menyasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan matlamat penubuhannya untuk mengurus wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji.
Dalam memastikan sasaran itu, Tabung Haji akan terus bekerja keras mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, keselamatan pelaburan amat penting dan institusi itu tidak boleh mengambil risiko terlalu tinggi.
“Ini adalah amanah kami yang paling besar kerana kami perlu memastikan kelangsungan Tabung Haji untuk 100 tahun lagi bagi membolehkan para jemaah melengkapkan agama.
“Kami tidak boleh ambil risiko besar lebih-lebih lagi dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia disebabkan pandemik Covid-19 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kelmarin, institusi itu mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat yang lebih baik sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada kira-kira sembilan juta pendepositnya.
Agihan keuntungan tahun lalu itu tinggi sedikit berbanding 3.05 peratus bagi 2019. Agihan keuntungan bagi tahun 2020 juga membabitkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.
Mengulas mengenai prestasi kewangan Tabung Haji itu, Nik Mohd. Hasyudeen menjelaskan keuntungan yang dicapai didorong prestasi dan kedudukan kewangan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, selain langkah pengurusan kos yang berhemah.
Ujarnya, prestasi ini juga disokong beberapa aktiviti pelaburan Tabung Haji dalam aset pendapatan tetap dengan janaan pendapatan sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan saham (RM430 juta), pelaburan hartanah (RM352 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM318 juta).
“Tabung Haji juga terus komited melindungi kepentingan pendeposit dengan lebih separuh dari peruntukan asetnya dilaburkan dalam sukuk yang menawarkan pendapatan tetap.
“Ini selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, pendapatan berulang, selamat serta mempunyai daya ketahanan risiko,” jelasnya.
Tambah beliau, Tabung Haji menjangkakan operasi persekitaran yang lebih mencabar pada tahun ini di mana pelabur terus mencari pulangan yang tinggi walaupun ekonomi masih lemah namun langkah pelbagai negara termasuk Malaysia dalam mendapatkan vaksinasi dijangka akan membantu meneruskan usaha pemulihan ekonomi.
“Kita akan meneruskan usaha mengimbangi semula portfolio pelaburan khususnya dalam menggantikan aset yang tidak berdaya saing dengan aset yang boleh memberi pulangan lebih baik.
“Ini termasuk memberi penekanan yang lebih kepada pelaburan luar negara dan pelaburan berlandaskan ESG (environmental, social and governance) yang terus menjadi perhatian banyak pelabur hari ini,” katanya. – UTUSAN