Syarat ketat bank menyusahkan - Utusan Malaysia

Syarat ketat bank menyusahkan

Sektor pelancongan dan perhotelan merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BSG dakwa bantuan kerajaan sukar diterima golongan terjejas

KUALA LUMPUR: Persatuan perniagaan yang dikenali sebagai Business Survival Group (BSG) mendakwa, bantuan kewangan kerajaan bernilai berbilion ringgit tidak diterima oleh sektor yang terkesan berikutan syarat ketat dikenakan oleh pihak bank.

Menurut kumpulan itu, secara umumnya, antara sektor yang terkesan teruk ialah sektor pelancongan, runcit, acara dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Berdasarkan laporan ke-42 Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Rangsangan Ekonomi antara Agensi Nasional mengenai Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana), sebanyak RM1.26 bilion telah diberikan kepada 6,731 PKS.

Namun, BSG yang dianggotai 262 persatuan dan lebih 900,000 perniagaan itu mendakwa, angka itu hanya mewakili 3.2 peratus PKS yang wujud di negara ini.

Presiden BSG, Abdul Malik Abdullah mendakwa, ang­ka itu tidak masuk akal dan mempersoalkan mengapa hanya tiga peratus PKS yang dibantu, sedang­kan realiti situasi ekonomi menunjukkan lebih ramai lagi yang patut dibantu.

“Ekonomi negara telah menyusut sebanyak 5.6 peratus dan kita ada lebih 700,000 orang yang kehilangan pekerjaan pada tahun lalu. Bagaimana boleh terjadi ketidakselarasan yang besar antara liputan kerajaan dengan sistem perbankan?,” soalnya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia yang juga ahli BSG, Emmy Suraya Hussein memberitahu, banyak hotel dalam keadaan terdesak tidak mendapat akses kepada SRF dan skim pembiayaan pelancongan Penjana.

“Banyak hotel telah memohon SRF untuk mengelakkan hotel daripada ditutup tetapi ditolak oleh bank dengan alasan sektor kami terlalu berisiko atau kami tidak mempunyai dokumen yang lengkap.

“Permohonan untuk skim Penjana memerlukan kertas kerja terperinci dengan syarat permohonan yang ketat. Saya tahu kerajaan mahu membantu sektor yang terkesan tetapi mereka harus mempermudahkan proses permohonan itu,” jelasnya.

Selain itu, ahli kumpulan tersebut yang mempunyai perniagaan dalam sektor kesihatan dan kecantikan, Ketua Pegawai Eksekutif Orchid Desire Sdn. Bhd., Datin Norhayati Ramlan mendakwa, kerajaan seolah-olah meminggirkan terus golongan yang bekerja dalam sektor berkenaan.

“Sektor ini dipandang remeh kerana ia tidak dianggap sebagai satu kepentingan. Sedangkan di waktu pandemik ini ramai orang yang memerlukan kestabilan mental dan salah satu caranya ialah dengan manjakan diri di pusat kecantikan. Kami juga perlu mengekalkan perniagaan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penasihat BSG, Datuk Dr. A. T. Kumararajah sehubungan itu meminta kerajaan membentuk pasukan tujuan khas (SPV) untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik.

“SPV patut dijalankan sebagai kerjasama awam dan swasta (PPP) dengan kerajaan yang mengatur dan menetapkan kebajikan. SPV juga harus dilaksanakan di bawah satu jendela untuk memudahkan proses permohonan untuk perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya