PUTRAJAYA: Kadar kutipan ses sebanyak RM2 setiap tan bermula 1 Mac lalu, yang dikenakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), mampu meningkatkan pengeluaran sawit negara dan kesinambungan industri berkenaan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kadar dikenakan kepada pengeluar minyak sawit (CPO) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO) iaitu pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit dan Kilang Pelumat Isirung Sawit.
Katanya, ia susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) yang semakin tinggi ketika ini.
Beliau berkata, kadar baharu itu telah dipersetujui sebelum ini dan dilihat sesuai dilaksanakan.
“Malah, ia selari dengan prestasi harga minyak sawit yang meningkat melepasi paras RM3,000 setiap tan dan diunjurkan terus mengukuh di pasaran.
“Peningkatan ses akan disalurkan bagi menyokong penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP),” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd. Khairuddin berkata, sebanyak RM30 juta daripada kutipan akan digunakan sebagai pelengkap oleh industri kepada peruntukan RM30 juta yang disediakan kerajaan melalui geran padanan seperti diumumkan semasa Belanjawan 2021.
Katanya, mekanisasi dan automasi di sektor perladangan akan diberi tumpuan khusus yang turut selari dengan cadangan pihak industri.
“Penubuhan MARCOP melibatkan kerjasama MPOB dan pihak industri bertujuan meningkatkan teknologi dan penggunaan kejenteraan ladang bagi mengoptimum kecekapan operasi serta penuaian buah sawit di samping mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan.
“Hasil kutipan ses juga disalurkan bagi pembiayaan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang diwujudkan bagi mengatasi cabaran secara bersama isu-isu minyak sawit di peringkat antarabangsa seperti kempen antiminyak sawit serta diskriminasi Kesatuan Eropah ke atas biobahan api berasaskan sawit,” katanya. – UTUSAN