SEP bantu kerajaan jimat RM600 juta - Utusan Malaysia

SEP bantu kerajaan jimat RM600 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Solar Energy Purchasing (SEP) untuk bangunan kerajaan dilihat mampu memberikan kesan positif kepada ekonomi negara kerana berpotensi mencipta kira-kira 140,000 peluang pekerjaan, kontrak projek bernilai lebih RM16 bilion kepada 4,000 syarikat selain membantu kerajaan menjimatkan sehingga RM600 juta bil elektrik setahun.

Sasaran tersebut boleh dicapai sekiranya pihak kerajaan menerapkan pemasangan sistem Solar Fotovoltaik (PV) de­ngan jumlah kapasiti 4,116 MWp di semua bangunan kerajaan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, setakat ini, sebanyak 27 agensi kerajaan telah memasang panel solar di bangunan masing-masing dengan jumlah kapasiti sistem solar PV di Putrajaya sebanyak 1,294kW.

Ujarnya, ini peluang besar untuk para penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui, syarikat kontraktor, vendor dan konsultan kerana masih banyak bangunan kerajaan yang bakal memasang sistem PV.

“Kerajaan kini sudah mula memahami kebaikan sistem solar dan telah memberi ba­nyak kesedaran mengenai pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui itu dalam kala­ngan agensi kerajaan. Jika dilihat pada senarai bangunan, ini masa sesuai untuk menawarkan perkhidmatan konsultan dan pemasangan solar, contohnya sekolah-sekolah dan stadium.

“Ini secara tidak langsung membuka banyak peluang pekerjaan baharu daripada kontraktor elektrik dan sebagai­nya. Kita perlu terokai benda baharu seterusnya mencapai sasaran pihak kerajaan untuk meningkatkan kapasiti penggunaan tenaga boleh diperbaharui sehingga 20 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai panel webinar Solar Energy Purchasing untuk bangunan kerajaan: Potensi, Peluang dan Cabaran anjuran Kementerian Kerja Raya secara maya, semalam.

Webinar itu turut disertai Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Ir. Mohd. Zamri Laton dan Pengarah Urusan Gsparx Sdn. Bhd., Elmie Fairul Mahsuri sebagai panel.

Sementara itu, Mohd. Zamri memaklumkan, pemasangan sistem solar ini memberi peluang kepada banyak pihak dan bukan hanya tertumpu kepada bangunan kerajaan.

“Menerusi Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang dilancarkan semalam (kelmarin), masing-masing 100MW telah dikhaskan untuk bangunan kerajaan dan domestik, manakala 300MW lagi akan di­salurkan kepada bangunan komersial dan perindustrian seperti kilang-kilang yang menggunakan tenaga lebih tinggi.

“Jadi, lebih banyak pemasa­ngan diperlukan menerusi syarikat-syarikat pemasangan sistem solar. Pengusaha boleh mendaftar sebagai syarikat berdaftar di bawah SEDA kerana sudah tentu banyak peluang kontrak projek akan tumbuh selepas ini,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas sama ada pemasangan sistem solar akan memberi kesan buruk kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Elmie Fairul menjelaskan syarikat utiliti negara itu sentiasa bersama kerajaan dalam melaksanakan visi pembaharuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya