Semak semula polisi ekonomi, tingkat pertumbuhan - Utusan Malaysia

Semak semula polisi ekonomi, tingkat pertumbuhan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menyemak semula model pembangunan, cara polisi ditetapkan dan peranan kerajaan serta institusi untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi negara pada masa hadapan.

Prasyarat tersebut digariskan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai persediaan untuk peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang dijangka dicapai dalam tempoh lima tahun.

Beliau turut menegaskan, rakyat Malaysia bukan sahaja mengimpikan ekonomi yang berpendapatan tinggi malah ekonomi yang mampu meningkatkan taraf kehidupan seluruh populasi.

Sehubungan itu, kata beliau, adalah penting untuk kerajaan menilai semula bukan sahaja kepantasan pertumbuhan, malah kualiti, inklusiviti dan kemampanannya.

“Rakyat Malaysia semakin memahukan kesejahteraan ekonomi dan sosial serta taraf kehidupan yang tinggi, bukan hanya pendapatan tinggi. Pekerjaan yang memuaskan, bukan hanya untuk melangsaikan tanggungjawab kewangan bulanan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik, bukan sekadar kewujudannya.

“Kita perlu memastikan peluang yang saksama kepada semua rakyat, menyediakan peluang mobiliti ke hadapan dan insentif yang baik untuk mereka kekal serta bekerja di Malaysia.

“Sumber yang lebih banyak diperlukan untuk dilaburkan dalam pembinaan modal insan berkualiti tinggi dan dalam memudah cara peluang ekonomi yang lebih besar terutamanya untuk wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika pelancaran pelancaran Laporan Utama Bank Dunia: Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development yang diadakan secara maya semalam.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia turut memerlukan reformasi generasi baharu untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan sektor swasta diterajui inovasi, selain polisi untuk menggalakkan perkembangan kemahiran dan bakat bagi memastikan rakyat lebih bersedia untuk merebut peluang dan cabaran ekonomi pascapandemik.

Beliau turut mengulas saranan Bank Dunia dalam laporan yang dilancarkan, yang menggariskan empat keutamaan Malaysia untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

Empat cadangan itu ialah meningkatkan kebolehsaingan, mencipta pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuhkan institusi dan menambah baik kapasiti untuk membiayai peralihan kepada status negara berpendapatan tinggi dan maju.

“Bergerak ke hadapan, Malaysia juga perlu membina jalan baharu untuk pertumbuhan dengan pengetahuan intensif dan berpandukan produktiviti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya