SEPANG: AsiaAsia dan beberapa pakar penerbangan serta pelancongan terkemuka menyarankan protokol perjalanan di peringkat global diselaraskan untuk memacu pemulihan perjalanan udara di peringkat antarabangsa.
Ini berikutan vaksin Covid-19 yang telah dilancarkan di seluruh dunia dan perjalanan udara domestik dilihat akan kembali ke tahap sebelum pandemik dalam waktu terdekat.
Presiden AirAsia Group (Penerbangan), Bo Lingam berkata, Covid-19 telah menjejaskan ramai orang terutama dalam industri penerbangan dan perhotelan.
Beliau berkata, untuk meneruskan perjalanan rentas sempadan dengan efektif dan selamat, rangka kerja yang dipersetujui bersama dan diselaraskan di peringkat global amat diperlukan.
Katanya, keperluan perjalanan di rantau ini bukan sahaja kompleks dan tidak seragam, malah gelembung perjalanan juga terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kami menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian, tetapi apa yang diperlukan untuk kembali memacu perjalanan udara antarbangsa adalah penyelarasan antara negara.
“Industri perjalanan dan pelancongan harus bekerjasama melaksanakan satu set protoko dan prosedur tetap untuk para tetamu seperti keperluan ujian dan vaksinasi, pas kesihatan digital yang dipersetujui bersama dan pengembangan gelembung perjalanan merangkumi sektor pelancongan rekreasi.
“Kita harus bekerjasama untuk memacu perjalanan udara dan menyambut penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat akan datang, yang juga memberi sumbangan amat diperlukan untuk ekonomi di peringkat global,” katanya dalam kenyataan semalam.
Bo berkata, AirAsia baru-baru ini telah melakukan tinjauan mengenai prosedur dan protokol Covid-19 di negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, China dan Australia.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan itu, keperluan perjalanan adalah berbeza di seluruh rantau ASEAN, menyukarkan pelancong untuk memahami dan mengikutinya.
“Protokol perjalanan berbeza di negara-negara lain di rantau ini juga menyulitkan operasi syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan. Tanpa protokol perjalanan yang diselaraskan, pengesahan dokumen kesihatan dan perjalanan secara manual akan memakan lebih masa dan mungkin terdedah kepada kesalahan dan penipuan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan perakuan kesihatan palsu,” katanya.
Tambah Lingam, dijangkakan antara 40 hingga 50 peratus rakyat di rantau ini akan divaksinasi pada suku ketiga tahun ini.
Justeru katanya, polisi perjalanan harus diperbaharui secara berkala mengikut keadaan semasa termasuklah kemungkinan untuk membatalkan keperluan kuarantin.
“Contoh yang baik adalah di Filipina, di mana mereka baru-baru ini telah menyelaraskan semua keperluan perjalanan di dalam negara dan memansuhkan peraturan yang tidak relevan,” tambahnya. – UTUSAN