PETALING JAYA: Sebanyak 160 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) akan ditawarkan semula untuk dilanggan bermula Isnin ini.
Menurut Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM), kesemua unit yang akan ditawarkan semula itu adalah hasil unit terkumpul yang telah ditebus oleh pemegang-pemegang unit selama setahun sejak Mac 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmad Najib Nazlan berkata, kali terakhir penawaran semula unit yang telah ditebus adalah sebanyak 100 juta unit iaitu pada Februari tahun lalu dan ia telah habis dilanggan dalam masa enam hari.
Beliau berkata, sejak itu, penjualan unit AHB telah ditutup dan semua unit yang ditebus oleh pemegang unit telah dikumpul dan disimpan oleh PHB.
“Kini, kami menawarkan semula unit-unit ini untuk dilanggan oleh masyarakat bumiputera. Walau bagaimanapun, penawaran semula 160 juta unit tersebut tidak akan mempengaruhi dana semasa AHB yang telah diluluskan dan kekal pada 4 bilion unit.” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Najib berkata, disebabkan pandemik Covid-19, trend penebusan unit AHB ketika ini adalah lebih rendah berbanding sebelum pandemik melanda.
“Kami yakin corak ini menunjukkan kesetiaan pemegang unit terhadap AHB. Oleh kerana unit yang akan ditawarkan adalah terhad, tawaran ini dibuat berdasarkan siapa cepat dia dapat dan akan ditutup setelah unit tersebut habis dilanggan sepenuhnya.
“Oleh itu, kami mencadangkan agar orang ramai mengunjungi pengedar-pengedar sah kami secepat mungkin,” kata beliau.
Unit AHB boleh dilanggan di pengedar-pengedar sah AHB iaitu Maybank, AmBank Berhad dan AmIslamic Bank Berhad. PHB adalah penaja dan MAM merupakan pengurus dana AHB. – UTUSAN