PUTRAJAYA: Setelah tertangguh 20 tahun, Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana bakal dimajukan tidak lama lagi dan diunjurkan siap pada pertengahan tahun depan
Projek pembangunan hartanah meliputi keluasan 1,780 hektar di Bukit Kayu Hitam, Kedah itu sekali gus akan mengubah suasana imej ‘lesu’ bandar sempadan Malaysia-Thailand tersebut.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lokasi itu akan dibahagikan kepada tiga komponen utama antaranya hab logistik darat yang lebih efisien.
“Ini akan memangkin pertumbuhan jaringan perkhidmatan penghantaran barangan yang hubung kawasan industri baharu di wilayah selatan Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjanjian Jual Beli Tanah SBEZ Kota Perdana antara Northern Gateway Free Zone Sdn. Bhd. dan Hartalega NSM Sdn. Bhd., anak syarikat Hartalega Holdings Berhad (Hartalega), di sini semalam.
Ia disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengerusi Hartalega, Kuan Kam Hon.
Di bawah perjanjian itu, Hartalega akan melabur RM7 bilion untuk tempoh 20 tahun bagi membina Kompleks Pengurangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di SBEZ Kota Perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, 16 fasiliti pembuatan akan dibina dalam dua fasa di atas tanah seluas 101.17 hektar di SBEZ yang bakal mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan.
“Setiap fasa akan melihat lapan fasiliti pembuatan dan sasaran Hartalega adalah fasa pertama siap pada 2024,” katanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hartalega memaklumkan pihaknya membelanjakan sebanyak RM228.69 juta untuk pembelian tanah tersebut.
Northern Gateway Free Zone di bawah Northern Gateway Sdn. Bhd. merupakan entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) sebagai pemaju utama SBEZ Kota Perdana.
Idea pembangunan tanah di situ dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2001 dan sepatutnya siap pada 2010, namun tergendala atas pelbagai sebab.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dua komponen lagi meliputi zon perindustrian bebas dan zon komersial bebas yang dimajukan bagi menarik pelabur melakukan aktiviti ekonomi.
“Sukacita saya kongsikan bahawa kerja pembangunan prasarana utama serta pembinaan depoh lori dan pelepasan dalaman di hab logistik akan bermula dalam masa terdekat,” jelasnya.
Beliau berharap projek SBEZ Kota Perdana akan mengubah peranan bandar sempadan tersebut kerana ia laluan utama perdagangan rentas sempadan dengan anggaran RM40 bilion setahun yang harus dimanfaat sebaiknya. – UTUSAN