SEOUL: Samsung Electronics Co. akan menawarkan perkhidmatan penghantaran dron kepada pembeli peranti Galaxy di Ireland.
Menurut Samsung, perkhidmatan tersebut akan digerakkan melalui kerjasama dengan syarikat pemula dron di negara itu, Manna.
Perkhidmatan tersebut akan tersedia untuk pelanggannya di Oranmore, kira-kira 200 kilometer ke arah barat dari Dublin, namun kedua-dua syarikat itu berkata mereka berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan tersebut ke seluruh Ireland pada masa hadapan, lapor agensi berita Yonhap.
“Perkhidmatan baharu ini, yang pertama untuk Samsung di seluruh dunia, akan memudahkan pengalaman tanpa sentuh hujung ke hujung kepada pelanggan Samsung bermula dari tempahan dalam talian awal melalui stor elektronik sehingga pembelian selesai,” kata Samsung.
Manna akan menggunakan dron gred aeroangkasa yang dibangunkan mengikut tempahan untuk penghantaran peranti telefon Galaxy Samsung kepada pelanggan.
Dronnya boleh terbang pada altitud 50 sehingga 80 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam, yang membolehkan penghantaran produk kepada pelanggan di Oranmore dibuat dalam masa tiga minit, kata Samsung.
Sebelum Samsung, Manna telah bekerja dengan Tesco dan perniagaan tempatan lain untuk menghantar barangan dapur, buku dan barangan farmasi kepada penduduk dalam kawasannya.
Ketua Dalam Talian Samsung Ireland, Eamonn Grant berkata, mereka sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan dan melalui perkhidmatan terbaharu itu, Samsung sedang memulakan sesuatu yang akan menjana masa hadapan peruncitan.
“Dalam persekitaran semasa, tiada masa lain yang lebih baik untuk menyediakan alternatif tanpa sentuh untuk ‘tekan dan ambil’ dan kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Manna bagi mencapainya,” katanya. – AGENSI