KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menandatangani perjanjian kerjasama Model Baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda bersama Agrobank melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM100 juta.
Usahasama tersebut memfokuskan kepada pelaksanaan projek berskala besar dan bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka dengan penglibatan pemain-pemain industri yang bernaung di bawah Agrobank serta telah membuktikan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, secara keseluruhan, projek usahasama itu menyasarkan penglibatan 100 buah koperasi peneroka dan 500 individu.
“Ia dijangka memberi tambahan pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap peneroka dalam bentuk dividen tahunan bagi projek koperasi, manakala RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi projek individu.
“Sehingga kini, projek-projek yang telah disenaraikan adalah projek penanaman nanas MD2, penanaman cili secara fertigasi, halia muda dan tanaman bernilai tinggi yang lain pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Menara Felda di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, program itu akan membuka peluang baharu kepada komuniti peneroka untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar, seterusnya menjana pendapatan lumayan.
Dalam pada itu, Idris enggan memberi sebarang komen mengenai pembelian saham FGV Holdings Bhd. (FGV) oleh Felda.
Felda baru-baru ini dilaporkan telah meningkatkan pembelian saham FGV sebanyak 467,300 pada harga RM1.30 sesaham di pasaran terbuka.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, pembelian tersebut dilakukan berdasarkan tawaran pengambilaihan tanpa syarat oleh Felda untuk memperoleh semua saham FGV yang masih ada.
Berdasarkan laporan media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Felda yang telah memiliki 77 peratus kepentingan dalam FGV hanya memerlukan lagi 13 peratus kepentingan ekuiti untuk menyahsenarai kumpulan tersebut dari Bursa Malaysia.
Langkah tersebut dikatakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu Felda mengukuhkan kedudukan kewangannya selain memberi manfaat kepada peneroka. – UTUSAN