KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah melancarkan Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) 2021-2025 dalam usaha mencapai kemakmuran pekebun kecil dengan menjana pendapatan lebih RM4,500 sebulan sekeluarga.
Majlis pelancaran MPSR telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan turut dihadiri Pengerusi RISDA, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif, Khamis lalu.
Abd. Latiff menjelaskan, pelan tersebut disusun berlandaskan empat teras utama merangkumi 12 inisiatif dengan menyasarkan empat impak keberhasilan iaitu peningkatan pendapatan hasil getah, keusahawanan, menjana keuntungan syarikat milikan RISDA dan memperkasa sistem penyampaian pekebun kecil.
Beliau berkata, MPSR diperhebat dengan pengaktifan kempen RISDA Prihatin Pekebun Kecil Makmur untuk melebarkan gerakan berterusan sepanjang tahun ini.
“MPSR turut berperanan merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha mencapai kemakmuran pekebun kecil untuk menjana pendapatan lebih RM4,500 sebulan sekeluarga.
“Pembentukan MPSR ini diyakini dapat merungkai enam isu berkaitan tanam getah iaitu produktiviti rendah, kawasan getah berkurangan, pemilikan tanah mengecil, pekerjaan menoreh bukan pilihan, memperkasa minda pekebun kecil dan menangani harga getah tidak stabil,” ujarnya.
Tujuh Bidang Keberhasilan Utama RISDA tahun ini ialah kelulusan dan kejayaan kebun tanam semula getah, peningkatan produktiviti kebun getah, perolehan harga komoditi ladang, modal insan pekebun kecil melalui program GAP, peningkatan bilangan usahawan pekebun kecil, peningkatan pendapatan pekebun kecil dan pertumbuhan keuntungan syarikat milikan RISDA.
Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyalurkan peruntukan sebanyak RM410.8 juta kepada RISDA bagi melaksanakan program-program pembangunan.
Peruntukan itu merangkumi RM322.1 juta untuk program kawasan bertanam getah pekebun kecil, RM58.7 juta bagi program peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil serta RM30 juta untuk program pembangunan hasil baharu.
Selain itu, sejumlah RM40.23 juta turut diperuntukan untuk program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan.
Pada majlis sama, RISDA turut mengumumkan kadar bantuan baharu untuk program tanam semula tahun ini dengan Semenanjung Malaysia sebanyak RM13,710 perhektar, manakala Sarawak dan Sabah masing-masing RM14,805 dan RM14,955 perhektar.
RISDA juga turut menerima peruntukan tambahan sebanyak RM15.7 juta untuk kawalan penyakit pestalotiopsis yang akan memberi manfaat kepada 8,043 pekebun kecil dengan kawasan tanaman getah seluas 15,282 hektar.
“Kita mahu menggalakkan dan mempromosikan semula penanaman getah. Oleh itu, kadar bantuan yang lebih tinggi ini diharap dapat menarik minat pekebun kecil seluruh negara.
“Kita lihat harga getah semakin baik ketika ini dan kita mengalu-alukan kerjasama di antara RISDA dan kerajaan-kerajaan negeri dalam memastikan industri getah terus mampan,” jelas Abd. Latiff. – UTUSAN