PETALING JAYA: Bantuan berterusan pihak swasta dilihat mampu meningkatkan semula perniagaan terutamanya usahawan B40 yang ketika ini masih belum pulih sepenuhnya ekoran situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, walaupun program vaksinasi dijangka dapat membantu pembangunan ekonomi negara, masih terdapat perniagaan yang terjejas dan belum dapat beroperasi sepenuhnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di seluruh negara.
Menurutnya, usahawan golongan B40 dan informal yang tidak berdaftar adalah antara yang terkesan dengan situasi pandemik kerana kebanyakan mereka bergantung kepada pendapatan harian selain tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung kos perniagaan.
“Oleh itu, pembabitan berterusan pihak swasta seperti yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat dengan memperkenalkan program Rakyatpreneur adalah tepat pada waktunya.
“Rakyatpreneur adalah program yang bertujuan menyokong pembangunan perniagaan mikro B40 dan asnaf yang berpotensi tinggi untuk memperkembangkan perniagaan mereka. Ini juga selari dengan usaha MEDAC dalam membantu usahawan b40,” katanya ketika melancarkan program Rakyatpreneur Bank Rakyat secara maya semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan memaklumkan, pihaknya prihatin terhadap golongan terjejas terutama asnaf dan usahawan mikro kerana rantaian masalah pandemik telah mengubah landskap ekosistem sosioekonomi masyarakat secara keseluruhan.
Jelasnya, program ini sebagai inisiatif kewangan sosial bank dan diyakini dapat membantu peserta memperoleh dana perniagaan, bimbingan serta kemahiran baharu untuk menjamin kelangsungan perniagaan sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Seramai 20 peserta terpilih telah menyertai projek rintis Rakyatpreneur yang dilancarkan pada Disember lalu. Mereka terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai pendapatan bulanan purata antara RM1,000 hingga RM3,000.
“Menerusi projek rintis itu, peserta menerima dana perniagaan secara berperingkat sebanyak RM5,000 setiap seorang termasuk bimbingan khidmat nasihat menerusi latihan modul selama enam bulan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran keusahawanan menerusi program webinar dengan kerjasama daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN),” ujarnya. – UTUSAN