KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan pelaburan Mara, PMB Tijari telah menyampaikan surat tawaran pembiayaan berjumlah RM128 juta kepada tiga Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di bawah SPiM Penjana.
PMB Tijari merupakan ejen pelaksanaan SPiM (Skim Pembiayaan Mudah Jaya) Pelan Jana semula Ekonomi Negara (Penjana).
Penyerahan tersebut telah disaksikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf; Pengarah Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara Berhad, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Norati Ibrahim.
Penjana berkenaan bertujuan membantu usahawan dalam kalangan IPTS bumiputera meneruskan kelangsungan operasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut Pengerusi PMB Tijari, Mohd Fauzi Rahmat, 25 IPTS telah menerima tawaran pembiayaan berjumlah RM155.3 juta dan hanya 13 IPTS yang telah mengemukakan dokumen lengkap bagi membolehkan pembiayaan berjumlah RM60.6 juta disalurkan.
“Namun, buat masa ini hanya tiga IPTS berjaya dan ditawarkan pembiayaan tersebut. IPTS terbabit ialah, Malaysia Allied Health Sciences Academy (MAHSA) berjumlah RM50 juta, MSU Holdings Sdn Bhd (MSU) sebanyak RM50 juta serta City Universiti RM28 juta.
“Sementara universiti lain masih dalam proses mendapat kelulusan pembiayaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Naib Canselor City University, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Mara kerana memberi bantuan di bawah skim pembiayaan tersebut.
“Bantuan berkenaan boleh membantu meringankan pembiayaan kos operasi kami kerana sejak berlaku pandemik Covid-19, ramai belajar tidak ke kampus.
“Jumlah pelajar yang masuk semakin berkurang. Jadi, apabila tiada pelajar maka, tiada lah punca pendapatan kami,” katanya.
Tambah beliau, jika situasi itu berterusan ia akan memberi kesan kepada IPTS-IPTS terbabit sekali gus memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat.
Kemudahan berbentuk bantuan pembiayaan bagi tujuan menampung keperluan perbelanjaan kos operasi itu telah dilancarkan pada Julai tahun lalu secara dalam talian.
Had pembiayaannya adalah dari RM500,000 hingga RM50 juta mengikut kriteria kredit dan kelayakan yang ditetapkan. – UTUSAN