PETALING JAYA: Platform penstriman secara langsung atas talian Pandasoft dijangka akan direvolusikan menerusi ekosistem lengkap dalam industri berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pandosoft, V. Navaratnam, Pandosoft akan dijadikan medium kepada mana-mana penyiar untuk menjalankan penstriman dan menyimpan data serta berkongsi jalur lebar rangkaian atau mengakses kandungan tersedia dengan cara berpusat.
Katanya, menerusi platform itu juga, individu yang mempunyai komputer bertindak sebagai ‘Rametron’ dengan hanya memberikan jalur lebar tidak digunakan untuk membolehkan orang ramai melayari penstriman dalam aplikasi tersebut.
“Pandosoft mempunyai sistem penstriman multi-modal yang unik di mana pencipta kandungan dan pengguna dapat diberi insentif untuk penyertaan mereka dalam ekosistem.
“Penting untuk diperhatikan bahawa rangkaian Pandosoft dijamin menggunakan teknologi blockchain untuk memastikan kredibiliti aktiviti transaksi dalam sistem. Interaksi dua hala antara pemain strim dan pengguna juga adalah langsung serta telus kerana semua aktiviti transaksi direkodkan pada blockchain awam yang tidak berubah,” katanya dalam sidang akhbar Pandosoft secara maya semalam.
Dalam pada itu, Navaratnam berkata, Pandosoft telah berkembang menjadi syarikat global apabila mengembangkan sayap ke Indonesia, Thailand, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Nigeria dan Amerika Syarikat.
Beliau memberitahu, lebih banyak negara akan menyertai Pandosoft dalam usaha syarikat tersebut menuju sasaran satu juta Rametron. – UTUSAN