PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad mengumumkan perjanjian baharu berkaitan pembekalan dan pengedaran 200,000 dos vaksin Sinovac kepada Kementerian Kesihatan yang ditandatangani semalam.
Perjanjian tersebut melibatkan anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) yang akan membekal dan mengedar vaksin produk siap diimport yang dibangunkan dan dihasilkan oleh anak syarikat Sinovac Biotech Ltd., Sinovac Life Sciences Co. Ltd. (Sinovac LS).
PLS sebelum ini mendapat hak membotolkan 14 juta dos vaksin Covid-19 dikeluarkan Sinovac melalui perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak Januari lalu.
Berbeza dengan perjanjian yang ditandatangani semalam melibatkan pengimportan produk siap, 14 juta dos vaksin yang diterima sebelum ini dibotolkan di kilang suntikan volum kecil (SVI) berteknologi tinggi milik PLS di Puchong, Selangor.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, PLS berkata, produk siap diimport tersebut telah menerima Kelulusan Bersyarat Produk Farmaseutikal Ketika Bencana daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 2 Mac lalu.
“PLS ialah pemegang pendaftaran produk tersebut dan pengimport eksklusif produk siap diimport itu di Malaysia.
“Perjanjian yang dilaksanakan membolehkan Kementerian Kesihatan membeli produk siap diimport tersebut daripada PLS dan untuk PLS membekal dan mengedar 200,000 dos produk tersebut ke semua fasiliti yang ditentukan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Kumpulan pertama vaksin Sinovac tiba di Malaysia pada 27 Februari lalu melalui penerbangan passenger-to-cargo (P2C) pesawat MH319 kendalian MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).
Vaksin tersebut dibawa secara pukal dalam bentuk cecair. Ia meliputi 200 liter cecair vaksin yang diproses untuk menjadi lebih 300,000 dos.
Malaysia dijadualkan menerima 14 juta dos vaksin Sinovac secara berperingkat yang akan melindungi 22 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduknya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Sinovac di negara ini.
Beliau yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Hospital Rembau 18 Mac lalu. – UTUSAN