Petronas, syarikat UAE jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Petronas, syarikat UAE jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tenaga berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) dan Masdar.

Kerjasama di antara Petronas dan ADNOC merangkumi keseluruhan rantaian minyak dan gas di mana syarikat UAE itu mengalu-alukan Petronas merebut peluang dalam penerokaan, pengembangan dan pengelua­ran sumber-sumber konvensional dan bukan konvensional yang penting di Abu Dhabi.

Petronas berkata, skop kerjasama itu meliputi penyelidikan dan pembangunan selain kerjasama teknologi gunaan dalam peningkatan pemulihan hidrokarbon, penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan, kelestarian gas, bahan kimia khusus, teknologi sumber daya tidak konvensional dan hidrogen.

Jelasnya, bagi sektor hiliran, kedua-dua pihak akan meneroka kerjasama dalam perdagangan termasuk bekalan minyak mentah dan stok suapan selain pengambilan produk bertapis.

“Kedua-dua organisasi juga akan menilai peluang domestik serta antarabangsa untuk memaksimumkan penciptaan nilai di rantaian berkenaan. Potensi lain juga dilihat dalam pengisian bahan bakar dan menyokong kapal bunker gas asli cecair (LNG) di pelabuhan UAE dan wilayah tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

MoU itu ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Menteri Industri dan Teknologi Lanjutan UAE serta Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNOC, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber.

Perbincangan antara kedua-dua pihak bermula apabila Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat melawat UAE selama lima hari pada Disember 2020 atas jemputan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Menurut Tengku Muhammad Taufik, Petronas percaya kerjasama dengan ADNOC membuktikan versi bersama dalam mengejar penciptaan nilai melalui penyelesaian tenaga yang progresif dan lebih bersih ketika dunia berdepan peralihan tenaga yang pantas.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan ADNOC untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat dengan cara yang bertanggungjawab dan berterusan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Al Jaber berkata, beliau sangat gembira dapat bekerjasama dengan Petronas untuk pertama kalinya melalui perjanjian yang merupakan evolusi semula jadi hubungan kuat antara UAE dan Malaysia selain memberi peluang mengeratkan hubungan melalui kerjasama tenaga strategik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya