Petronas perkukuh kerjasama dengan syarikat China - Utusan Malaysia

Petronas perkukuh kerjasama dengan syarikat China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama pengeluar minyak dan gas luar pesisir terbesar China, China National Offshore Oil Corporation (CNOOC) bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua syarikat dalam segmen kepakaran masing-masing.

Menurut Petronas, perjanjian tersebut mempererat hubungan kedua-dua syarikat yang sudah terbina lama dari segmen gas asli cecair (LNG) dan projek huluan ke arah keselamatan tenaga dan penyelesaian tenaga bersih.

Kata syarikat itu, ruang lingkup kolaborasi itu membuka peluang di sepanjang rantaian nilai bersepadu Petronas dan di seluruh dunia.

“Kedua-dua pihak akan memperkuat kerjasama dalam LNG, penerokaan huluan dan projek pembangunan, penapisan, perkhidmatan kejuruteraan dan medan minyak, bahan kimia istimewa, pelincir dan tenaga boleh dibaharui.

“Selain pembekalan LNG, Petronas dan CNOOC juga akan bekerjasama untuk memperkembang penggunaan gas asli sebagai bahan api marin yang lebih bersih melalui penyelesaian pembunkeran LNG, sebagai sokongan terhadap peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau dari kapal.

“Melalui MoU itu, Petronas dan CNOOC akan meneroka penubuhan rangkaian pembunkeran sedunia, memanfaatkan pengalaman kedua-dua syarikat dalam pembunkeran LNG,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Menurut Petronas, hubungannya dengan CNOOC dalam ruangan LNG bermula sejak 2006 melalui perjanjian pembekalan 25 tahun untuk tiga juta tan setahun bersama Shanghai LNG Co. Ltd.
CNOOC mempunyai pegangan 45 peratus dalam Shanghai LNG Co. Ltd.

“Dari segi huluan, pada 2019 Petronas melalui anak syarikatnya, PC Carigali Mexico Operations S. A. de C. V. memperolehi pegangan ekuiti 30 peratus dalam laut dalam Blok 4, terletak di perairan Perdido Foldbelt dan dioperasikan oleh CNOOC,” katanya.

Perjanjian antara Petronas dengan CNOOC ditandatangani Naib Presiden Kanan Strategi Korporatnya, Mazuin Ismail dan Naib Presiden CNOOC, Huo Jian dalam satu acara maya.

Acara tersebut disaksikan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu Petronas, Adnan Zainal Abidin dan Presiden Kumpulan CNOOC, Li Yong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya