Permodalan pasaran Tesla jatuh - Utusan Malaysia

Permodalan pasaran Tesla jatuh

KELEWATAN Tesla melancarkan model kenderaan baharu termasuk Cybertruck dikatakan punca kepada kejatuhan teruk modal pasarannya di Wall Street. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Saham syarikat kereta elektrik, Tesla Inc. terus jatuh kelmarin sehingga satu pertiga daripada nilai tertingginya pada Januari, kali ketiga ia jatuh secara dramatik dalam tempoh kira-kira setahun.

Dengan para pelabur bimbang berkenaan peningkatan kadar faedah dan menjual saham bernilai tinggi beberapa minggu ini, permodalan pasaran Tesla jatuh hampir AS$300 bilion (RM1.21 trilion) kepada AS$550 bilion (RM2.22 trilion), lebih rendah berbanding Facebook Inc.

Tesla mengatasi permodalan pasaran Facebook Disember lalu selepas menyertai S&P 500.

Kelmarin, saham Tesla jatuh lebih empat peratus, menyusut hampir 35 peratus daripada nilai tertingginya pada 26 Januari.

Saham teknologi dan saham pertumbuhan lain menyusut banyak sejak 12 Februari apabila Nasdaq ditutup pada rekod tertingginya.

Bagaimanapun, penyusutan saham Tesla ketika itu jauh lebih teruk berbanding saham besar Wall Street yang lain.

Kenaikan saham syarikat itu dalam beberapa bulan ini berpunca daripada jangkaan pengeluaran keretanya akan diperkembang secara cepat dan menguntungkan.

Penyusutan baru-baru ini terjadi selepas Ketua Eksekutifnya, Elon Musk mengumumkan di Twitter Sabtu lalu bahawa model Cybertruck yang diperkenalkan pada 2019 akan mula dibekalkan pada suku kedua ­tahun ini.

Saham Tesla sebelum ini telah jatuh pada jumlah yang sama atau lebih besar daripada penyusutan ketika ini dua kali sejak awal 2020, menjadikannya saham paling tidak tentu dalam kalangan syarikat gergasi di Wall Street.

Sahamnya jatuh lebih 60 peratus pada Februari dan Mac tahun lalu apabila pandemik Covid-19 mengejutkan pasaran global.

Selepas meningkat ke rekod tertinggi terbaharu pada Ogos, nilainya jatuh 33 peratus sebelum kembali mencatatkan peningkatan luar biasa.

Saham syarikat itu jatuh hampir 30 peratus sejak catatan tertinggi Nasdaq pada 12 Februari, mengurangkan perolehannya dalam tempoh enam kepada kira-kira 43 peratus.

Sebagai perbandingan, sejak 12 Februari, saham Apple Inc. jatuh kira-kira 13 peratus manakala Amazon.com Inc., ­Microsoft Corp. dan Facebook jatuh kurang daripada 10 peratus. ­– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya