Penganggur bertambah hampir 10,000 orang Januari 2021 - Utusan Malaysia

Penganggur bertambah hampir 10,000 orang Januari 2021

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan penganggur meningkat sebanyak kira-kira 9,700 orang pada Januari disebabkan peningkatan bilangan kes baharu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu di kebanyakan negeri.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran pada bulan tersebut meningkat sedikit kepada 4.9 peratus berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya dan jumlah penganggur meningkat kepada 782,500 orang berbanding 772,900 orang pada Disember.

“PKP 2.0 yang dilaksanakan mulai 13 Januari 2021 telah menyebabkan hanya lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan.

“Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan terhadap momentum pemulihan perniagaan dan seterusnya pasaran buruh,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Walau bagaimanapun, menurut Mohd. Uzir, kedudukan tenaga buruh pada Januari pulih sederhana melihat kepada peningkatan bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut.

Katanya, pertambahan dalam penduduk bekerja adalah lebih tinggi berbanding peningkatan bilangan yang menganggur yang sekali gus menggambarkan kenaikan permintaan buruh oleh perniagaan.

“Tenaga buruh pada Januari naik 0.2 peratus dengan tambahan sebanyak 31,500 orang merekodkan 16.02 juta berbanding 15.99 juta orang pada Disember 2020.

“Pada bulan tersebut, penyertaan tenaga buruh meningkat pada kadar 68.5 peratus berbanding 68.4 peratus pada DIsember,” katanya.

Jelas Mohd. Uzir, peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan dan aktiviti rekreasi.

Beliau memberitahu, ketika PKP 2.0, hanya sektor ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi iaitu sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan edaran, serta perladangan dan komoditi.

“Sementara itu, sebanyak 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi kakitangan kumpulan sokongan adalah tertakluk kepada keperluan.

“Keadaan ini menyebabkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan pertambahan sejumlah 21.9 ribu orang kepada 15.24 juta orang pada Januari 2021.

“Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat kepada 65.2 peratus (Disember 2020: 65.1 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya