LONDON: Syarikat gergasi e-hailing, Uber memberikan status pekerja kepada pemandunya di United Kingdom (UK) dengan faedah termasuk gaji minimum.
Ia adalah langkah pertama seumpamanya yang dilaksanakan oleh syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu.
Beberapa minggu setelah keputusan mahkamah tinggi yang memberi impak kepada ‘ekonomi gig’ di UK, Uber memaklumkan pemandunya akan mendapat cuti berbayar dan pencen.
Ia adalah perubahan besar dalam model perniagaan syarikat yang sebelum ini berhujah di Mahkamah Agung UK, bahawa pemandunya adalah bekerja sendiri.
Uber dalam satu kenyataan memaklumkan, mulai Rabu (semalam), lebih 7,000 pemandu Uber di UK akan diperakukan sebagai pekerja dengan meraih sekurang-kurangnya pendapatan minimum kebangsaan.
“Ini adalah gaji minimum, dengan pemandu boleh memperoleh lebih banyak,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah bulan lalu memutuskan bahawa pemandu Uber berhak mendapat hak pekerja.
Keputusan itu diperoleh selepas perbicaraan undang-undang yang berlarutan antara pemandu UK dan syarikat e-hailing Silicon Valley itu.
Gaji minimum mengikut jam di UK akan meningkat sehingga US$12.37 (RM50.94) bermula April nanti.
Rata-rata pemandu memperoleh US$23.62 (RM97.26) sejam di London dan US$19.45 (RM80.10) di seluruh UK.
Uber menjelaskan, tindakannya terhadap hak pekerja bermaksud pemandu akan memperoleh pendapatan lebih selamat, menolong mereka merancang masa depan sambil mengekalkan fleksibiliti yang sama dengan industri swasta.
“Uber telah berunding dengan ribuan pemandu sejak beberapa minggu ini yang mengatakan mereka mahukan faedah tambahan ini, tanpa kehilangan fleksibiliti,” tambahnya.
Sejak pandemik Covid-19, kos Uber lebih tinggi kerana menghadapi tempahan yang merosot walaupun mendapat permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan penghantaran makanan Uber Eats semasa penutupan negara.
Sementara itu, Uber meminta syarikat-syarikat di sektor ini untuk membentuk dana bersama yang membolehkan pemandu bekerja untuk aplikasi berbeza memperoleh perlindungan dan faedah seperti cuti berbayar. – AGENSI