OPR kekal 1.75 peratus - Utusan Malaysia

OPR kekal 1.75 peratus

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Menurut BNM, risiko terhadap prospek pertumbuhan telah sedikit berkurang namun ia terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Katanya, faktor utama keadaan tersebut ialah ketidakpastian berhubung pandemik Covid-19 dan keberkesanan program vaksin.

“Pemulihan ekonomi global semakin rancak meskipun tidak sekata, disokong oleh peningkatan yang stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.

“Program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di banyak negara bersama-sama dengan sokongan dasar akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja.

“Meskipun pasaran kewangan telah mengalami volatiliti, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengekalan OPR pada 1.75 peratus adalah kali kedua dilakukan tahun ini.

Bagi ekonomi domestik, BNM melihat pertumbuhan akan meningkat bermula dari suku kedua dan seterusnya, didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar.

“Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan permintaan luaran bertambah baik dan perbelanjaan pengguna berterusan.

“Walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang dialami pada suku kedua 2020,” katanya.

Dalam pada itu, BNM mengunjurkan purata inflasi keseluruhan pada tahun ini lebih tinggi, sebahagian besarnya disebabkan harga minyak yang meningkat.

“Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua 2021. Hal ini disebabkan asas yang lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negeri pada suku sama 2020 sebelum menjadi sederhana.

“Inflasi asas dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, prospek ini bergantung kepada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya