KUALA LUMPUR: Gedung tekstil terkenal negara, Jakel menjadi antara pusat beli-belah pertama memberi pulangan wang tunai kepada pelanggan menerusi kempen promosi Jakel Cashback Deals yang berlangsung pada 12 Februari hingga 13 April depan.
Promosi menarik itu menawarkan rebat sebanyak 10 peratus dalam bentuk wang tunai kepada pelanggan yang berbelanja minimum RM100 untuk semua jenis produk dijual di semua 22 cawangan Jakel di seluruh negara, walaupun membabitkan barangan dengan harga promosi dan selepas tawar-menawar.
Pelanggan akan tetap menikmati rebat tunai walaupun pembayaran dibuat menggunakan kad kredit atau aplikasi tanpa tunai seperti GrabPay dan Boost.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pemberian rebat tunai itu sebagai tanda keprihatinan dan terima kasih terhadap para pelanggan Jakel yang sentiasa memberi sokongan walaupun dalam situasi mencabar pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Ujarnya, sejak dilancarkan sebulan lalu, Jakel telah membayar rebat tunai berjumlah RM4.27 juta kepada lebih 100,000 pelanggan yang telah menyumbang kepada kira-kira RM50 juta jumlah jualan keseluruhan dalam tempoh tersebut.
“Promosi ini sebenarnya tamat pada 14 Mac, namun kerana sambutan yang amat menggalakkan, kami berbesar hati melanjutkan tempoh promosi sebulan lagi sehingga 13 April. Ini juga bagi memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan mengunjungi Jakel disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.
“Kami menyasarkan dalam tempoh promosi selama dua bulan ini, hasil jualan sehingga RM150 juta dapat dicapai, sekali gus memberikan rebat tunai RM15 juta kepada para pelanggan. Orang ramai juga sudah tentu gembira kerana pertama kali dapat menikmati rebat secara tunai sebaik sahaja pembayaran dibuat di kaunter,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.
Menurut Mohamed Faroz, walaupun berdepan cabaran pandemik, jualan secara dalam taliannya semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan apabila mencatatkan kenaikan lebih 200 peratus sejak tahun lalu.
“Sejak setahun lalu, sudah beberapa kali gedung tekstil Jakel perlu menutup operasi disebabkan pelaksanaan PKP, termasuk sebelum sambutan Aidilfitri. Namun, hampir RM50 juta nilai jualan dalam talian dapat dicapai dalam tempoh itu dan tahun ini kita akan teruskan dengan kempen perayaan lebih menarik,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, Jakel kini rancak mengadakan persiapan kempen Jakel Barulah Raya 2021 yang akan bermula April nanti dengan tawaran potongan sehingga 75 peratus.
Jelasnya, Jakel terus mengekalkan barisan duta Jakel antaranya Datuk Aaron Aziz, Nabil Ahmad, Awal Ashaari, Syuk Sahar, Hairul Azreen, Scha Al Yahya, Ayda Jebat, Hanis Zalikha, Lara Alana dan Yusof Iskandar.
“Tahun lalu pelbagai promosi tergendala jadi kali ini kita akan keluarkan fabrik baharu yang bermutu dan lebih selesa, pelbagai rekaan baju siap wanita, baju melayu, kurta, koleksi kanak-kanak selain barang perhiasan rumah seperti kain langsir, permaidani dan sebagainya supaya perayaan tahun ini lebih bermakna buat semua.
“Lebih menarik, pelanggan yang membeli secara dalam talian juga masih boleh menikmati kempen promosi Jakel Cashback Deals sama seperti di semua cawangan Jakel. Oleh itu, kami menyeru orang ramai jangan lepaskan peluang dan nikmati tawaran menarik ini,” ujarnya. – UTUSAN