Nike, H&M dikritik warganet China - Utusan Malaysia

Nike, H&M dikritik warganet China

Keprihatinan syarikat Nike Inc. mengenai laporan buruh paksa di wilayah Uyghur, China ternyata tidak disenangi oleh warganet negara berkenaan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kemarahan terhadap Nike Inc. meletus di media sosial China sejak kelmarin setelah syarikat gergasi barangan sukan itu dilihat mengeluarkan kenya­taan bahawa mereka ‘prihatin’ mengenai laporan buruh paksa di Xinjiang.

Pihak Nike bagaimanapun menjelaskan produk mereka tidak menggunakan kapas dari wilayah tersebut.

Semalam, topik mengenai kenyataan Nike itu adalah antara yang sohor kini di media sosial China seperti Weibo sekali gus kritikan di media sosial itu dilihat memberi kesan kejatuhan yang luas.

Pelakon popular China, Wang Yibo menamatkan kontraknya sebagai wakil untuk Nike sebagai tindak balas terhadap kritikan media sosial berhubung kenyataan Xinjiang. Perkara itu dimaklumkan agensinya dalam satu kenyataan di Weibo, semalam.

Bagaimanapun, tidak jelas bilakah Nike mengeluarkan kenya­taan itu dan Nike juga enggan memberikan sebarang komen.

“Kami prihatin dengan laporan tentang buruh paksa di Wilayah Otonomi Xinjiang Uyghur (XUAR).

“Nike tidak mendapatkan produk dari XUAR dan kami telah mengesahkan dengan pembekal kontrak kami bahawa mereka tidak menggunakan tekstil atau benang dari wilayah ini,” kata Nike dalam kenyataan itu.

Kenyataan Nike itu muncul setelah Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Britain dan Kanada pada Isnin lalu mengenakan sekatan ke atas pegawai-pegawai China atas tuduhan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.

China bertindak balas dengan mengenakan sekatan ke atas penggubal undang-undang dan institusi Eropah.

Selain Nike, peruncit popular H&M juga dilaporkan kemungkinan berdepan tindakan boikot oleh para pengguna di China berikutan kenyataan dibuat syarikat terbabit atas isu yang sama.

H&M yang menyuarakan kebimbangannya tentang dakwaan diskriminasi dan buruh paksa membabitkan etnik Uyghur, dilaporkan turut menghentikan import kapas daripada pengeluar dari wilayah ber­kenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya