PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bekerjasama dengan dua pemain utama dalam industri Elektrik & Elektronik (E&E), Jabil Circuit Sdn. Bhd. dan Inari Amertron Berhad dalam menyediakan 2,030 pekerjaan baharu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Sejak diperkenalkan Ogos tahun lalu, program JomKerja@NCER telah membantu mencipta hampir 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan perniagaan agri, dengan lebih RM21 juta dalam insentif yang disalurkan oleh NCIA kepada lebih 100 perniagaan yang beroperasi di NCER.
Pulau Pinang dan Perak merupakan peneraju dalam membuka peluang pekerjaan dengan masing-masing sebanyak 66.8 dan 21.1 peratus, disusuli Kedah dan Perlis sebanyak 7.3 dan 4.8 peratus.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pihaknya komited dalam mencipta lebih banyak peluang kerja yang akan membantu individu terkesan dengan wabak Covid-19, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di wilayah tersebut.
Ujarnya, bakat tempatan yang berdaftar adalah pekerja separa mahir dan berkemahiran sepenuhnya daripada pelbagai industri pembuatan seperti E&E dan M&E yang baru diberhentikan, serta lulusan graduan dan lepasan sekolah.
“Syarikat perekrut akan mengambil mereka bekerja dan memberikan latihan, tempat kerja. Dalam tempoh ini, NCIA akan memberi insentif kepada syarikat yang layak di mana sebanyak 50 peratus daripada gaji setiap pekerja dengan maksimum RM1,000 ditanggung NCIA selama enam bulan.
“NCIA bukan hanya membantu pekerja, malah turut membantu majikan untuk kekalkan perniagaan dan membolehkan mereka terus menggaji pekerja dalam situasi mencabar ini.
“Saya yakin setiap usaha akan membawa perubahan kepada rakyat, perniagaan dan kebaikan negara.
“Kita akan membantu Majlis Pekerjaan Negara mencapai sasaran mencipta kira-kira 500,000 pekerjaan tahun ini dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Jabil Circuit dan Inari Amertron,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran JomKerja@NCER kepada Jabil Circuit membabitkan 1,200 peserta dan Inari Amertron dengan 830 peserta yang dijalankan secara maya, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Jabil Circuit, KC Chen memaklumkan, selain sepadan dengan keperluan industri, program JomKerja@NCER melihat secara menyeluruh dan menyokong perniagaan dalam jangka pendek dan panjang.
“Wabak COVID-19 telah memberi cabaran kepada rakyat Malaysia dan syarikat. Kami akan terus menyokong NCIA dalam usahanya membantu pekerja dan komuniti perniagaan,” jelasnya.
Ketua Eksekutif Inari Amertron, Lau Kean Cheong pula berkata, JomKerja@NCER adalah program yang dirangka dengan baik dan membantu syarikat untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan dalam tempoh yang mencabar ini. – UTUSAN