Mukmin Pay, KOFAMA bekerjasama - Utusan Malaysia

Mukmin Pay, KOFAMA bekerjasama

ABDUL Fattah Abdullah (tengah) melihat dokumen memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Mukmin Pay Sdn. Bhd. dengan Koperasi FAMA Berhad di Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Mukmin Pay Sdn. Bhd. (Mukmin Pay) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian usaha sama dengan Koperasi FAMA Berhad (KOFAMA) untuk melaksanakan pendigitalan pasar tani dan perusahaan lain.

Kerjasama itu langkah strategik untuk mempermudah dan membuka peluang kepada usahawan-usahawan menggunakan pemasaran mudah alih di bawah kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi KOFAMA, Mansor Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Mukmin Pay, Mohd. Yusni Ismail. Ia disaksikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang.

Mohd. Yusni berkata, Mukmin Pay telah mewujudkan aplikasi pasaran penghantaran mudah alih iaitu Mukmin Mart bagi mempelbagaikan perkhidmatan dan perniagaan menerusi penyelesaian digital.

“Fokus utama Mukmin Mart ialah untuk meningkatkan jualan produk terutamanya produk buatan muslim yang dipasarkan di pasar tani dan Myfarm menerusi pembelian secara dalam talian.

“Dengan sokongan pihak KOFAMA dan ANGKASA, kami dapat membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 yang masih menular,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jelasnya, orang ramai kini boleh membeli barangan segar di pasar tani tanpa pergi ke pasar kerana barang-barang akan dihantar oleh pekerja p-hailing.

Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail menjelaskan, program itu antara inisiatif ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk membantu dan membimbing KOFAMA dan semua koperasi usahawan pasar tani di seluruh negara.

“Dengan cara ini kita dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh petani-petani untuk menjual produk mereka dengan konsisten.

“Konsep ini boleh dikembangkan bersama KOFAMA supaya kita boleh menyumbang kepada komuniti selain mendapat manfaat daripada dividen peniagaan,” katanya.

Bank Muamalat selaku rakan strategi syarikat Mukmin Pay, turut memberi sokongan penuh dengan menawarkan perkhidmatan pembukaan akaun baharu dan perbankan internet kepada semua usahawan FAMA bagi memudahkan pengurusan rekod transaksi yang melibatkan penjualan dan pembelian.

Antara kelebihan Mukmin Mart ialah, pengguna digalakkan membuat pembelian tanpa tunai dengan membayar menggunakan e-wallet sedia ada yang terdapat di dalam aplikasi Mukmin Mart dengan hanya mengimbas kod QR yang tersedia di pasar tani.

Mukmin Mart juga menawarkan perkhidmatan pesanan awal di mana pengguna boleh membuat pesanan di dalam aplikasi sebelum pasar tani dibuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya