KUANTAN: Syarikat milik penuh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Muip Holding Sdn. Bhd. (MHSB) dilantik sebagai wakil korporat takaful am dan takaful keluarga kepada tiga syarikat insurans.
Tiga syarikat terbabit ialah Etiqa FamilyTakaful Berhad, Etiqa General Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad.
Majlis menandatangani pelantikan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MHSB, Mustaqim Zaim bersama CEO Etiqa Family Takaful, Zafri Ab. Halim; CEO Etiqa General Takaful, Shahrul Azuan Mohamed dan CEO Takaful Ikhlas General, Eddy Azly Abidin di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis disaksikan oleh CEO Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain.
Ahmad Hairi berkata, pemilihan ketiga-tiga syarikat takaful itu sejajar dengan hala tuju MHSB dalam membentuk sebuah entiti peniagaan patuh syariah yang holistik dan berdaya maju selaras dengan cabaran perniagaan semasa.
Katanya, pelantikan itu secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada MHSB di mana bayaran komisen kepada pihak ketiga dapat dihapuskan, secara tidak langsung dapat mengoptimumkan penggunaan dana dalam menjalankan perniagaan syarikat.
“Pelantikan ini adalah satu titik tolak bagi Muip dan MHSB dalam mengharungi norma baharu dengan isu pandemik yang menggugat ekonomi serta kesejahteraan sejagat.
“Justeru, saya merasakan amat perlu untuk kami turut serta di dalam perkhidmatan takaful yang mampu melindungi dan memperkukuhkan ekonomi serta kesejahteraan untuk kekal relevan dalam persaingan ekonomi global,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Zafri berkata, pelantikan MHSB sebagai wakil korporat dalam merangka pelindungan takaful sama ada produk pelindungan diri atau perlindungan untuk aset dimiliki tepat pada waktunya khususnya dalam situasi wabak pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
“Semoga dengan pelantikan MHSB ini dapat membantu Etiqa dalam memperluaskan usaha membantu lebih ramai masyarakat khususnya dalam membina masa depan yang lebih baik untuk pelanggan dan keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN