PETALING JAYA: Tan Sri Mokhzani Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Maxis Berhad berkuat kuasa 22 April ini.
Beliau yang ketika ini memegang jawatan sebagai Pengarah Bebas Kanan Lembaga tersebut akan menggantikan tempat Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda yang akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.
Raja Arshad berkata, sudah tiba masa untuk beliau menyerahkan kedudukannya kepada ahli Lembaga Pengarah yang lebih muda dan mengucapkan tahniah kepada Mokhzani.
“Beliau seorang pemimpin korporat dan usahawan yang sangat berpengalaman yang fasih dengan selok-belok industri telekomunikasi memandangkan telah berada dalam lembaga pengarah serta menyertai beberapa jawatankuasa untuk beberapa tahun.
“Saya yakin dengan sokongan dan komitmen berterusan daripada semua warga Maxis, syarikat akan tumbuh dengan kukuh di bawah kepemimpinannnya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Raja Arshad merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Maxis sejak syarikat itu tersenarai di Bursa Malaysia pada 2009.
Bagi Mokhzani, beliau yakin Maxis akan terus menerajui pasaran pembekal penyelesaian tertumpu dan memainkan peranan utama dalam agenda digital negara serta usaha meningkatkan keterhubungan dalam negara.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Raja Tan Sri Arshad atas kepemimpinannya yang cemerlang, panduan serta sumbangan yang tidak terhingga kepada syarikat sepanjang perkhidmatannya.
“Kita kini berada pada sempadan era teknologi dan Maxis sentiasa berada di barisan hadapan dalam membawa inovasi baharu kepada negara.
“Kami kini dalam waktu yang mengujakan dan saya tidak sabar untuk memulakan tugas serta bekerja dengan lembaga pengarah, pihak pengurus dan pekerja ketika kami mempercepat usaha mencapai impian pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya. – UTUSAN