PETALING JAYA: Aker Solutions Malaysia telah dianugerah kontrak daripada MISC Berhad untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan terperinci bagi kemudahan penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO), di luar pesisir pantai di Rio de Janeiro, Brazil.
Aker Solutions dalam satu kenyataan memberitahu, projek itu akan diketuai oleh pasukan kejuruteraannya di Kuala Lumpur (KL) dengan sokongan daripada pusat kejuruteraan lain syarikat di negara-negara lain.
Skop kontrak perkhidmatan kejuruteraan FPSO merangkumi reka bentuk terperinci untuk bahagian atas, lambung kapal, laut dan antara muka dasar laut.
Naib Presiden Kanan Aker Solutions, Kejuruteraan Malaysia dan Pembangunan Perniagaan Global, Jason Brown berkata, Aker Solutions mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan baru dan pengubahsuaian untuk FPSO.
“Pasukan kejuruteraan kami di KL mempunyai kemampuan terbukti selama lebih dari 30 tahun dalam pelaksanaan projek kejuruteraan di peringkat global,” katanya.
Pada Oktober lalu, syarikat kejuruteraan itu telah memperoleh kontrak di China daripada syarikat Tianjin BOMESC Offshore Engineering Company Limited
Kontrak tersebut bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan bagi lima modul proses topsides dengan jumlah anggaran berat sebanyak 10,000 metrik tan untuk projek FPSO di luar pesisir pantai Rio de Janeiro, Brazil.
Penyampaian projek tersebut dijangka akan selesai pada suku kedua tahun ini. – UTUSAN