Minyak, gas masih sumber terpenting - Utusan Malaysia

Minyak, gas masih sumber terpenting

HARGA minyak mentah terus mencatatkan trend turun naik antaranya disebabkan penularan Covid-19 dan peningkatan inventori oleh sesetengah negara pengeluar. – AGENSI - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minyak dan gas akan kekal menjadi sumber tenaga terpenting dunia walaupun peralihan ke arah sumber tenaga lebih bersih sedang rancak berlangsung, terutamanya dalam tempoh pandemik Co­vid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, seperti jangkaan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), minyak dan gas akan kekal sebagai bahan api dominan sehingga 2040 serta akan menghasilkan hampir 50 peratus daripada campuran tenaga seperti yang dilihat sekarang.

Kata beliau, pada masa hadapan juga gas asli akan memainkan peranan lebih penting dalam menggalakkan peralihan tenaga.

“Pada masa yang sama, kita perlu persiapkan diri untuk penggunaan meluas tenaga boleh dibaharui yang menjimatkan kos seperti solar, hidrogen dan angin.

“Selain itu, arang – walaupun mungkin lebih menjimatkan – tidak akan menjadi pilihan yang berdaya maju pada masa hadapan disebabkan kesannya yang menjejaskan alam sekitar.

“Kos untuk menjana elektrik melalui tenaga boleh dibaharui menjadi lebih kompetitif. Apabila pasaran domestik matang, akan wujud peluang yang lebih besar untuk pengurangan kos dalam tenaga boleh dibaharui pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis pembukaan Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC) yang diadakan secara maya semalam.

Persidangan yang dianjurkan oleh Petronas serta Mubadala Petroleum dan Schlumberger sebagai penganjur bersama itu bermula semalam sehingga 1 April ini.

Mengulas lanjut, menurut Mustapa, pemain industri minyak dan gas perlu memanfaatkan keupayaan teknologi dan inovasi masing-masing bagi mengatasi cabaran yang dihadapi industri itu ketika ini.

Kata beliau, teknologi dan inovasi mampu menggerakkan industri tersebut ke arah yang lebih mampan untuk alam sekitar.

“Daripada perspektif pembuatan polisi, industri perlu disokong dengan ekosistem yang tepat termasuk penentuan harga berasaskan pasaran, polisi menepati tujuan dan terma fiskal yang menarik.
“Paling penting, kestabilan iklim pelaburan sektor huluan perlu dikekalkan,” katanya.

Sementara, ketika menyampaikan ucaptama dalam Sesi Dialog Kelab Perniagaan Kuala Lumpur semalam, Mustapa berkata, kesemua enam kluster MyDIGITAL telah melaksanakan libat urus bersama kementerian berkaitan, agensi selain organisasi swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan inisiatif yang telah digariskan dalam rangka tindakan tersebut.

Sehubungan itu, kata beliau, beberapa kluster telah muncul dengan senarai aktiviti untuk dijalankan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Contohnya, Kluster Teknologi Memuncul telah melaksanakan ujian rintis untuk Sandbox Inovasi Teknologi Kebangsaan (NTIS) dalam teknologi dron untuk menghantar barangan daripada platform e-dagang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya