Minyak Brent lepasi AS$70 setong - Utusan Malaysia

Minyak Brent lepasi AS$70 setong

HARGA minyak dunia meningkat selepas OPEC+ dijangka mengekalkan had pengeluran minyaknya. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Harga hadapan minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$70 (RM283) semalam, pertama kali sejak pandemik Covid-19 bermula sementara minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencatat harga tertingginya dalam tempoh lebih dua tahun berikutan serangan ke atas fasiliti Arab Saudi.

Harga hadapan minyak mentah Brent untuk Mei mencecah AS$71.38 (RM288.58) dalam dagangan awal Asia, tertinggi sejak 8 Januari 2020.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk April meningkat AS$1.60 (RM6.47) atau 2.4 peratus kepada AS$67.69 (RM273.66). Harga hadapan WTI sebelum itu mencecah AS$67.98 (RM274.83) setong, tertinggi sejak Oktober 2018.

Saham Asia turut meningkat selepas Dewan Senat AS meluluskan rang undang-undang rangsangan AS$1.9 tri­lion (RM7.68 trilion) sementara data ekonomi positif dari AS dan China menjanjikan pemulihan kepada ekonomi dunia.

Ahad lalu, kumpulan Hou­thi dari Yaman menyerang pusat industri minyak Arab Saudi menggunakan dron dan peluru berpandu, termasuk fasiliti Saudi Aramco di Ras Tanura yang penting untuk eksport petroleum.

Riyadh menggelarkan se­rangan itu sebagai serangan terhadap keselamatan tenaga dunia yang gagal.

Harga Brent dan WTI meningkat untuk sesi keempat berturut-turut selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya memutuskan mengekalkan pemotongan pe­ngeluaran pada April.

Walaupun peningkatan harga berlaku dengan pantas, menteri yang bertanggungjawab tentang minyak dari Arab Saudi tidak begitu yakin dengan pemulihan permintaan.

ANZ dalam nota kajiannya berkata, keputusan mengekalkan kuota menandakan OPEC dan sekutunya berniat untuk terus menurunkan inventori tanpa kebimbangan pasaran menjadi terlalu ketat.
“Ia turut menandakan mereka melihat tidak banyak ancaman daripada peningkatan pengeluaran di mana-mana,” katanya.

Walau bagaimanapun, menteri berkaitan tenaga di negara pengimport minyak mentah ketiga terbesar dunia, India berkata, harga yang lebih tinggi boleh mengancam pemulihan diterajui penggunaan di beberapa buah negara.

Harga yang lebih tinggi turut menggalakkan firma tenaga AS menambah pelantar minyak dan gas asli untuk minggu kedua berturut-turut, menurut firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes Co. minggu lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya