PETALING JAYA: Malaysia telah disenaraikan sebagai negara kedua yang kondusif bagi pelaburan asing di Asia Tenggara oleh syarikat Eropah dan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan kajian Standard Chartered.
Kedudukan itu didorong oleh kemampuan negara Malaysia memberi peluang untuk menubuhkan atau mengembangkan sumber, jualan atau operasi dalam masa enam atau 12 bulan akan datang.
Kajian Perniagaan Tanpa Sempadan itu telah dijalankan pada November dan Disember lalu, disertai lebih 1,000 ketua pegawai kewangan (CFO) dan profesional perbendaharaan kanan syarikat yang meraih perolehan melebihi AS$500 juta (RM2.065 bilion) di AS, United Kingdom, Jerman dan Perancis.
Standard Chartered dalam satu kenyataan memberitahu, Asia kekal sebagai rantau pertumbuhan utama dengan lebih 85 peratus responden beroperasi dan melaksanakannya di Asia atau mempertimbangkan untuk aktiviti perniagaan.
Sementara, Afrika dan Asia Barat menyaksikan sedikit peningkatan sehingga empat peratus sebagai pasaran pertumbuhan yang berpotensi dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
“Dalam pengawalseliaan yang dinyatakan sebagai kebimbangan pertama dalam kalangan responden yang berhasrat untuk mengembangkan sayap ke luar negara, ia boleh memberi peluang kepada Malaysia untuk berpotensi meningkatkan pelaburan asing melalui kesedaran yang lebih baik mengenai mudahnya menjalankan perniagaan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar menyifatkan Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi kumpulannya dan pihaknya akan terus melabur dalam teknologi di sini untuk membantu pelanggan perbankan runcit, komersial dan institusi mereka agar berjaya dan berkembang.
“Ini meningkatkan keyakinan di negara ini berserta kehadiran kukuh Standard Chartered di Asia, Afrika dan Asia Barat, berada di nadi laluan perdagangan global, bersedia menghubungkan dunia kepada Malaysia dan Malaysia kepada dunia.
“Kelestarian, pendigitalan dan keperluan untuk memahami peraturan bukan hanya menjadi kunci bagaimana perniagaan akan dijalankan, terdapat juga peluang untuk syarikat meningkatkan kecekapan operasi, berkembang di peringkat antarabangsa dan terus bergerak ke hadapan dalam persaingan,” jelasnya.
Kajian berkenaan turut mendedahkan penekanan tambahan untuk melabur dalam teknologi digital, mengeluarkan wang yang dikenakan sekatan dan meningkatkan tumpuan terhadap isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berkaitan perdagangan dan rantaian bekalan.
Syarikat yang ingin mengembangkan atau memperkukuhkan operasi antarabangsa mereka berkata, memahami syarat peraturan di pasaran luar negara kekal menjadi cabaran terbesar (35 peratus), selain keperluan untuk menjalinkan hubungan dengan pembekal dan menjalinkan hubungan dengan pembekal dan menyesuaikan kepada logistik rantaian bekalan (21 peratus). – UTUSAN