PETALING JAYA: Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), sebuah makmal pengukuran kebangsaan di bawah SIRIM Berhad (SIRIM), dilantik sebagai Presiden dan Sekretariat Forum Metrologi Perundangan Asia Pasifik (APLMF) untuk tempoh dua tahun.
Pelantikan itu menjadikan Malaysia negara membangun pertama dari rantau ASEAN yang diberi mandat berkenaan yang antara lain berfungsi sebagai penyelaras program, sekretariat dan menganjurkan mesyuarat tahunan serta menyokong pelaksanaan rangka kerja APLMF.
Menurut NMIM, APLMF merupakan kumpulan pihak berkuasa metrologi perundangan yang berperanan membangunan metrologi perundangan dan mempromosi perdagangan bebas serta terbuka di rantau Asia Pasifik melalui penyelarasan dan penghapusan halangan teknikal atau pentadbiran terhadap perdagangan dalam bidang metrologi perundangan.
Badan itu ditubuhkan pada November 1994 dan diwujudkan dengan 14 negara ekonomi dari Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) seperti Australia, Kanada, China, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, China Taipei, Thailand dan Amerika Syarikat. Ketika ini, keanggotaan APLMF sebanyak 27 negara.
Mengulas pemilihan Malaysia itu, Pengerusi Majlis Pengukuran Kebangsaan, Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Tajuddin Ali berkata, Malaysia melalui NMIM telah menunjukkan komitmen dan kepakarannya dalam metrologi perundangan di rantau Asia Pasifik dengan merealisasikan objektif ALPMF apabila dilantik sebagai Ajli Jawatankuasa Eksekutif badan itu sejak 2002.
Beliau berkata, jawatan kuasa tersebut telah mencadangkan agar Malaysia dipertimbangkan untuk menyandang jawatan Presiden dan Sekretariat APLMF untuk menggantikan Presiden dan Sekretariat dari Piawaian Perdagangan (Kementerian Perniagaan, Inovasi & Pekerjaan) New Zealand yang menyandang jawatan itu sejak 2015.
Antara negara lain yang pernah menyandang jawatan berkenaan adalah China, Jepun dan Australia.
“Pelantikan tersebut telah diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan Pengarah Kanan NMIM, Dr. Osman Zakaria adalah Presiden APLMF yang baharu,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani pula berbangga dengan lantikan NMIM sebagai Presiden dan Sekretariat APLMF.
“Ahli Pengurusan SIRIM Berhad mengucapkan tahniah kepada NMIM dan Dr. Osman di atas pelantikan ini. Saya berharap NMIM akan berjaya meletakkan Malaysia sebagai peneraju metrologi dan meningkatkan sektor ini di peringkat nasional dan rantau Asia Pasifik,” katanya.
NMIM adalah Makmal Pengukuran Standard Nasional di bawah Akta Sistem Pengukuran Nasional 2007 (Akta 675). Ia berperanan sebagai penjaga di bawah Akta Timbang dan Ukuran 1972 (Akta 71).
NMIM menyebarkan kebolehkesanan pengukuran ke seluruh negara berdasarkan Sistem Unit Antarabangsa dan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan infrastruktur metrologi nasional memenuhi dan mematuhi standard pengukuran global. – UTUSAN