MaGIC, ScaleUp jalin kerjasama - Utusan Malaysia

MaGIC, ScaleUp jalin kerjasama

Dzuleira Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan meningkatkan jumlah kecepatan pertumbuhan dan nilai industri syarikat permulaan tempatan menerusi kerjasama dengan ScaleUp Malaysia.

Dua pemain industri terkemuka awam dan swasta itu bakal melatih 20 syarikat permulaan yang berpotensi dan meraih komitmen pelaburan minimum RM250,000 bagi setiap 10 syarikat permulaan terpilih melalui pelaburan dari pelabur institusi.

Syarikat permulaan terlibat akan menerima dana daripada institusi kewangan untuk menyediakan garis kredit dan sokongan yang sesuai daripada rakan korporat strategik.

Kedua-dua organisasi itu juga akan bekerjasama rapat dengan syarikat permulaan untuk menggandakan pendapatan mereka di masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, kerjasama antara rakan-rakan ekosistem itu bertujuan untuk menyediakan akses yang lebih lengkap kepada pelabur dan pembiayaan untuk syarikat permulaan yang mahu melebarkan sayap di dalam negara dan rantau ini.

“Menerusi kerjasama ini, kami melatih syarikat permulaan dari peringkat awal (bootcamp) ke Program Pemecut Global (GAP) iaitu peringkat pertengahan hingga akhir, seterusnya ke ScaleUp Malaysia yang merupakan peringkat pertumbuhan dengan dana komited untuk pelaburan.

“Kami berharap dapat membawa alumni MaGIC ke ScaleUp Malaysia seterusnya alumni ScaleUp Malaysia mendapat manfaat daripada program MaGIC.

“Dengan menambah nilai ke dalam kitaran pengembangan pertumbuhan syarikat-syarikat baharu, kami secara efektif meningkatkan nilai dan memberi impak kepada syarikat permulaan, seterusnya menyumbang kepada ekosistem,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kerjasama itu merupakan yang pertama oleh MaGIC tahun ini dalam merealisasikan Rangka Tindakan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) untuk melatih 5,000 syarikat permulaan dan menarik dua unikorn dalam lima tahun akan datang.

Ia berfungsi untuk memajukan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar pasaran serantau untuk produk dan penyedia penyelesaian digital dengan syarikat permulaan sebagai pemangkin.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi ScaleUp Malaysia, Aaron Sarma berkata, kerjasama itu dapat mendukung syarikat permulaan yang akan berada di barisan depan transformasi digital seperti yang berlaku di seluruh dunia dalam situasi pandemik.

Syarikat kohort ScaleUp Malaysia yang menyertai program ini akan diberi keutamaan untuk menceburi program dan inisiatif MaGIC termasuk Sandbox Inovasi Teknologi Kebangsaan (NTIS), Global Market-Fit Program (GMP) dan MyStartup Hub. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya