MaGIC anjur Persidangan E-Nation - Utusan Malaysia

MaGIC anjur Persidangan E-Nation

Dzuleira Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan yang mengumpulkan penggerak dunia keusahawanan Malaysia, E-Nation anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan diadakan dalam empat bahagian tahun ini, dengan bahagian pertamanya bermula 31 Mac ini.

Tiga bahagian pertama persidangan tersebut akan diadakan secara maya pada setiap suku tahun sebelum penutupnya diadakan secara gabungan maya dan berhadapan di ibu pejabat Magic di Cyberjaya.

Menurut MaGIC, siri pertama persidangan itu bertajuk Kepemimpinan Inovatif melalui Reka Bentuk pada 31 Mac ini akan menampilkan pembicara terkenal seperti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; usahawan sosial, pengasas Grameen Bank dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus serta bekas Pengarah Pembelajaran dan Pembangunan Tesla, Beth Davies.

Ia diikuti siri kedua dengan tajuk Manusia, Planet dan Keuntungan – Seni Keseimbangan pada 24 Jun; siri ketiga bertajuk Teknologi untuk Kebaikan pada 26 Ogos dan kemuncak Persidangan E-Nation pada 28 dan 29 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, E-Nation 2021 akan memenuhi permintaan untuk idea-idea radikal dan baharu dengan peralihannya daripada acara tunggal kepada siri persidangan yang sentiasa ada.

“Memandangkan waktu yang mencabar ini turut hadir bersama peluang yang baik, kami memahami keperluan untuk membawa E-Nation selangkah ke hadapan untuk menyambut semangat pemain industri keusahawanan Malaysia untuk terus membawa kecemerlangan kepada negara.

“Sebagai platform rujukan untuk membantu pertumbuhan pemikir dan penginovasi terbaik negara, sudah menjadi tugas kami untuk membantu mereka menuju arah yang sama: untuk mengubah konsep berpandu impak kepada tindakan, untuk mengganggu status quo dan untuk memperkaya masyarkata melalui perbincangan positif dan inovatif,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut MaGIC, sejak 2019, E-Nation telah mengumpulkan lebih 5,000 peserta yang terdiri daripada usahawan dan penginovasi sosial; pelabur dan pelabur impak; pemimpin pemikiran; ahli akademik; penginovasi; korporat; syarikat teknologi; pembuat polisi; pengawal atur dan agensi kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya