LSS TNB pamer prestasi konsisten - Utusan Malaysia

LSS TNB pamer prestasi konsisten

Nawawi Ahmad (kiri) dan N. Rawisandran melihat dengan lebih dekat panel solar fotovoltaik di LSS, Sepang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ladang solar berskala besar (LSS) pertama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sepang telah merekodkan lebihan jumlah tenaga maksimum yang diisytiharkan untuk dua tahun berturut-turut.

Kejayaan itu hasil pengurusan loji secara pintar dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta teknologi analisis data.

Menurut Pengarah Urusan Tenaga Renewables Sdn. Bhd. (TRe), Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof, pada tahun pertama pengoperasiannya 2019, LSS telah merekodkan lebihan tenaga yang diisytiharkan kepada penerima iaitu TNB sebanyak enam peratus atau lebih daripada 110,000 megawatt jam (MWh).

Beliau berkata, prestasi yang baik itu turut diulangi tahun lalu dengan penjanaan tenaga berjumlah 108,900 MWh atau lima peratus daripada yang diisytiharkan.

“Kami berjaya mengoptimumkan operasi ladang solar ini dengan menggunakan teknologi pemantauan dan analisis data,” katanya dalam kenyataan semalam.

TRe merupakan anak syarikat milik penuh TNB. Terdahulu, Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Datuk N. Rawisandran telah melawat tapak solar berkenaan, minggu lalu.

Mohd. Yusrizal berkata, teknologi itu antara lain membolehkan TNB mengenal pasti waktu paling sesuai untuk membersihkan panel solar berdasarkan tahap penjanaan tenaga dan ramalan cuaca.
Jelasnya, menerusi penggunaan teknologi analisis terkini (pengotimuman pembersihan), syarikat dapat mencapai penjimatan kos operasi tahunan sehingga RM160,000.

“TRe komited menggunakan penyelesaian inovatif bagi membangunkan keupayaan TNB untuk menjadi pengurus serta pemaju aset RE terkemuka di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Terletak di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, ladang solar berkapisiti 50 megawatt (MW) dilengkapi dengan 238,140 panel fotovoltaik.

Sementara itu, Rawisandran berkata, penggunaan teknologi terkini di ladang solar itu membolehkan TNB memaksimumkan kecekapan ladang itu dan menjana lebih banyak tenaga bersih bagi grid nasional.

Kedua-dua LSS Sepang dan LSS Bukit Selambau telah dianugerahkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Suruhanjaya Tenaga, melalui Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.

TNB adalah satu daripada 30 syarikat yang disenarai pendek oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pembidaan pembangunan projek solar berskala besar 4 (LSS 4)@MEnTARI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya