Lebih banyak syarikat baharu dibuka berbanding gulung tikar - Utusan Malaysia

Lebih banyak syarikat baharu dibuka berbanding gulung tikar

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah Usahawan Selebriti, Shahmira Muhamad (tiga dari kiri) pada Anugerah Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta Usahawan (SEBA) 2020 di Grand Hyatt di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat baharu yang berdaftar mengatasi jumlah syarikat yang ditutup walaupun dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia menunjukkan keupayaan usahawan untuk mengikuti trend norma baharu serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi.

“Menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 437,769 syarikat baharu didaftarkan termasuk 131,139 syarikat dalam talian berbanding 78,420 yang ditutup.

“Itu menunjukkan jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan penggunaan teknologi, mereka pasti akan berjaya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perniagaan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) dan Keusahawanan (SEBA), kelmarin.

55 anugerah berprestij telah diberikan kepada PKS dan pengusaha semasa majlis makan malam gala tersebut.

Wan Junaidi menjelaskan, kementerian akan memberikan penyelesaian menyeluruh kepada usahawan daripada kategori tidak formal dan mikro hinggalah mereka yang berada dalam kategori berteknologi tinggi serta bermodal tinggi.

Katanya, kementerian dan agensi akan membantu mewujudkan ekosistem kondusif bagi membantu usahawan di Malaysia berjaya.

“Tidak kiralah daripada kategori mana anda berada, jika anda datang kepada kami, kami akan ‘pegang tangan’ anda sepanjang pengalaman itu.

“Kami akan beri tunjuk ajar, pantau perkembangan anda untuk memastikan anda mencapai kejayaan,” ujarnya.

Menurutnya, sasaran kementerian adalah untuk melahirkan 100 jutawan dalam setahun daripada kumpulan usahawan tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia, Nitesh Malani dalam ucapannya berkata, Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) adalah masa yang sukar bagi semua orang dan banyak PKS serta perniagaan yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, daripada majlis ini, kita dapat melihat banyak syarikat-syarikat yang berdaya tahan, semakin kuat, dan ada juga yang menyaksikan pertumbuhan dalam waktu yang sukar ini.

“Sambutan tahun ini adalah untuk meraikan PKS dan usahawan yang berjaya memacu perniagaan mereka ke arah pemulihan dan pertumbuhan,” katanya.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarul A. Muhamed dianugerahkan Usahawan Terbaik sementara Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng, serta Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Carsome Academy, Teoh Jiun Ee dianugerahkan secara bersama Usahawan Tekno Terbaik.

Manakala, Usahawan Sosial Terbaik dimenangi oleh Pengasas Spirit of 57, Syed Sadiq Albar dan Usahawan Selebriti Terbaik diberikan kepada Pengusaha Bubblebee, Shamira Muhamad (Shuib Sepahtu). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya