PETALING JAYA: Kontrak Tetingkap Tunggal Kebangsaan (NSW) untuk Dagang NeXchange Berhad (DNeX) dilanjutkan oleh kerajaan selama tiga tahun lagi.
Melalui lanjutan tersebut, anak syarikat milik penuh DNeX, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. akan terus mengoperasikan NSW untuk fasilitasi perdagangan bermula 1 September ini sehingga 31 Ogos 2024.
Menurut DNeX, syarikat tersebut akan terus membekalkan enam perkhidmatan elektronik teras NSW iaitu eDeclare, eManifest, ePCO, ePermit, ePermitSTA dan ePayment.
“Kemudahan tersebut akan menyediakan keterhubungan antara komuniti perdagangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi berkaitan untuk proses pendokumentasian import dan eksport.
“Tambahan lagi, syarikat tersebut akan turut menyediakan perkhidmatan kepada Tetingkap Tunggal Asean,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pengarah Urusan DNeX dan Pengerusi Dagang Net, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan JKDM yang terus yakin kepada kebolehan syarikatnya.
“Lanjutan kontrak tersebut membuktikan kekuatan dan kemampuan kami sebagai pembekal peneraju perkhidmatan elektronik dan fasilitasi perdagangan.
“DNeX terus komited menawarkan perkhidmatan elektronik yang bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan malah menawarkan nilai yang dapat membantu pelanggan menaik taraf operasi mereka serta memperkembang perniagaan mereka ,” katanya.
Menurut DNeX, syarikat itu telah menjadi pengoperasi NSW untuk fasilitasi perdagangan sejak pelancarannya pada 2009 dan mempunyai pengalaman dari segi pengetahuan, kepakaran dan kaedah operasi dalam penawaran perkhidmatan elektronik untuk fasilitasi perdagangan.
Malah, katanya, NSW untuk fasilitasi perdagangan telah menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan DNeX, menyumbang pendapatan kira-kira RM90 juta setahun.
“Persekitaran dagang sebegitu dapat mempercepat proses pemunggahan kargo, mengurangkan kos dan masa perniagaan serta menyumbang secara positif kepada keberkesanan perdagangan negara selain kebolehsaingan global. – UTUSAN