PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) telah dinobatkan sebagai salah satu daripada 10 lapangan terbang terbaik di dunia dalam kategori lebih dari 40 juta penumpang setahun pada tahun lalu, menurut tinjauan Airport Service Quality (ASQ) yang dilakukan oleh Airports Council International (ACI).
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, walaupun sektor penerbangan sedang menghadapi wabak Covid-19, lapangan terbang masih terus meneruskan projek-projek misi kritikalnya.
“Antaranya ialah pengubahsuaian tandas, pembentukan pasukan kecemerlangan operasi yang rajin mengenal pasti dan merancang inisiatif penambahbaikan manual dwibahasa untuk membimbing petugas barisan hadapan kami berinteraksi dengan penumpang.
“Usaha-usaha itu telah menyebabkan KLIA mencatatkan peningkatan skornya dengan mencapai skor tahunan sebanyak 4.98 daripada 5.00 pada tahun ini berbanding skor tahun sebelumnya 4.76,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sebagai pengendali lapangan terbang global, pihaknya didorong oleh keyakinan dan kepuasan penumpang terhadap kemudahan dan perkhidmatan di lapangan terbangnya.
Mohd. Shukrie memberitahu, pihaknya bersedia untuk penyambut penumpang dengan selamat serta memberi pengalaman yang lebih baik apabila perjalanan udara beransur pulih.
“Tahun ini, menumpang dapat merasakan perjalanan lebih baik termasuk masa menunggu lebih pendek dengan teknologi pengecam wajah yang merupakan sebahagian daripada transformasi digital lapangan terbang 4.0 kami.
“Baru-baru ini, kami juga telah memperkenalkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan kesihatan swasta agar penumbang dapat menikmati pelepasan lebih cepat setelah tiba di lapangan terbang,” tambahnya.
Bulan lalu, Malaysia telah menerima vaksin untuk melancarkan Program Imunisasi Nasional Covid-19 yang disasarkan buat petugas barisan hadapan.
Walaupun sempadan masih ditutup, pergerakan penumpang tempatan untuk 39 rangkaian lapangan terbang MAHB terus dipengaruhi oleh sekatan perjalanan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerana kes wabak yang masih menular. – UTUSAN